Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu berikutan jangkaan pelabur terhadap anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2026 yang positif, kata penganalisis.

Pada 8.00 pagi, mata wang tempatan itu meningkat kepada 4.0740/0780 berbanding dolar AS 4.0760/0800 ketika ditutup pada Selasa.

Anggaran awal KDNK Malaysia bagi suku kedua dijadual diumumkan Jumaat ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ekonomi negara dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan melebihi lima peratus pada suku berkenaan, dengan unjuran berkembang sebanyak 5.1 peratus.

Beliau berkata pertumbuhan itu akan disokong oleh permintaan luar yang kekal berdaya tahan, didorong eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) serta komoditi.

“Bagaimanapun, perbelanjaan pengguna yang lebih berhati-hati dijangka mengehadkan pertumbuhan KDNK.

“Kita menyaksikan penggunaan swasta berkembang di bawah kadar puratanya sepanjang tiga suku yang lalu dan kami menjangkakan trend yang sama akan berterusan pada suku kedua 2026,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, beliau berkata data inflasi AS bagi Jun yang lebih rendah daripada jangkaan dijangka mempengaruhi sentimen dalam pasaran pertukaran asing.

“Didorong penurunan ketara harga petrol yang mengurangkan kos pengangkutan, Indeks Harga Pengguna AS susut 0.4 peratus bulan ke bulan pada Jun, lebih besar daripada penurunan 0.1 peratus yang dijangkakan berdasarkan unjuran konsensus.

“Hasil bon Perbendaharaan AS bagi tempoh dua tahun dan 10 tahun masing-masing susut lapan mata asas kepada 4.18 peratus dan empat mata asas kepada 4.58 peratus,” katanya sambil menambah ringgit berpotensi terus mengukuh hari ini.

Beliau berkata ringgit berkemungkinan menguji paras RM4.05 berbanding dolar AS sepanjang dagangan hari ini.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5117/5143 daripada 2.5131/5157 pada Selasa, namun susut berbanding pound Britain kepada 5.4571/4625 daripada 5.4533/4586 serta merosot berbanding euro kepada 4.6545/6591 daripada 4.6470/6516 sebelum ini.

 Sementara itu, berbanding mata wang serantau, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Mata wang tempatan itu meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 225.1/225.5 daripada 225.3/225.6 ketika ditutup pada Selasa, namun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1562/1595 daripada 3.1533/1567.

Ringgit turut lemah berbanding baht Thailand kepada 12.1695/1873 daripada 12.1556/1722 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.60/6.61.- Bernama

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu berikutan jangkaan pelabur terhadap anggaran awal Keluaran Dalam Negara