Bursa Malaysia dibuka tinggi dipacu belian saham penjagaan kesihatan, hartanah

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan momentum meningkat apabila dibuka tinggi pada Selasa, didorong oleh minat belian yang berterusan terhadap saham wajaran tinggi terpilih terutama sektor penjagaan kesihatan dan hartanah walaupun prestasi semalaman di Wall Street lemah.

Pada 9.10 pagi, indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.41 mata kepada 1,700.85 daripada 1,698.44 semasa ditutup pada Isnin selepas dibuka naik 1.25 mata kepada 1,699.69.

Sentimen pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 209 berbanding 140 manakala 266 kaunter tidak berubah, 2,702 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 211.28 juta saham bernilai RM86.17 juta.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee Shen Pin berkata Wall Street ditutup lebih rendah berikutan ketegangan yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran selepas Presiden AS Donald Trump mengumumkan sekatan ke atas Selat Hormuz.

Sehubungan itu, harga minyak mentah melonjak, dengan minyak mentah Brent meningkat kepada AS$83 setong.

Menurutnya FBM KLCI meneruskan kenaikan apabila hampir mencecah paras 1,700 semalam, didorong aktiviti pembelian pada harga rendah terutama dalam saham berkaitan sektor perladangan.

“Kami juga mendapati aliran masuk dana asing ke pasaran tempatan mula kembali secara beransur-ansur sejak kebelakangan ini. Oleh itu, kami menjangka indeks bergerak dalam julat 1,690 hingga 1,705 hari ini,” katanya dalam nota penyelidikan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing susut dua sen kepada RM10.92 dan RM7.67, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.93 manakala Sunway Healthcare meningkat dua sen kepada RM1.97.

Bagi saham paling aktif, Tanco naik 1.5 sen kepada 25.5 sen, Velesto susut 2.5 sen kepada 26 sen, Vinvest Capital merosot 1.5 sen kepada 1.5 sen manakala Epicon dan Kinergy masing-masing tidak berubah pada 16.5 sen dan 38.5 sen.

Dalam kalangan kaunter paling untung, Fraser & Neave meningkat 44 sen kepada RM29.38, Petronas Chemicals naik 24 sen kepada RM4.59, United Plantations menambah 18 sen kepada RM35.20 manakala Concrete Engineering melonjak 17 sen kepada RM3.74.

Malaysian Pacific Industries mendahului senarai kaunter paling rugi apabila susut 52 sen kepada RM43.78. UWC, Pentamaster dan Unisem masing-masing merosot sembilan sen kepada RM4.51, RM4.43 dan RM4.43 manakala Infomina rendah tujuh sen kepada RM1.37.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 10.52 mata kepada 12,556.48, Indeks FBMT 100 menokok 12.44 mata kepada 12,399.24 manakala Indeks FBM Emas Syariah naik 18.95 mata kepada 12,416.34.

Indeks FBM Mid 70 berkurangan 17.63 mata kepada 17,808.72 dan Indeks FBM ACE merosot 37.34 mata kepada 4,827.67.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 1.25 mata kepada 20,018.82, Indeks Perladangan meningkat 24.87 mata kepada 9,412.39, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.57 mata kepada 185.09 manakala Indeks Tenaga menyusut 2.03 mata kepada 771.26.- Bernama