KTC labur RM30 juta bina kilang Gardenia di Sarawak, bakal perkenal produk edisi tempatan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
KILANG roti Gardenia. Foto hiasan. Foto bernama.

KUCHING: Kim Teck Cheong Consolidated Bhd (KTC) bercadang melabur RM30 juta untuk membina kilang pembuatan roti Gardenia di Kota Samarahan, Sarawak, yang akan mewujudkan 500 peluang pekerjaan kepada graduan tempatan dan pekerja mahir.

Ini berikutan KTC, melalui anak syarikatnya Gardenia Bakeries (East Malaysia) Sdn Bhd, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Sanjung Etika Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh Yayasan Sarawak dan kerajaan Sarawak.

Kerjasama itu akan membentuk sebuah syarikat usaha sama, Gardenia Bakeries (Sarawak) Sdn Bhd, yang menggabungkan kepakaran pembuatan Gardenia dengan inisiatif pembangunan modal insan dan komuniti oleh Yayasan Sarawak.

KTC memaklumkan pihak yang terlibat menyasarkan untuk memuktamadkan perjanjian usaha sama dan perjanjian pemegang saham dalam tempoh tiga bulan akan datang, sekali gus membuka jalan kepada syarikat baharu itu memulakan operasi.

“Sebagai sebahagian daripada perjanjian ini, KTC mengumumkan pelaburan sebanyak RM30 juta dan telah memohon sebidang tanah seluas 7.56 ekar daripada kerajaan negeri Sarawak untuk membina kilang pembuatan roti Gardenia.

“Projek ini dijangka mewujudkan 500 peluang pekerjaan baharu yang disasarkan khusus untuk graduan tempatan dan tenaga kerja mahir di Sarawak,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.

Pengarah Eksekutif KTC Datuk Dexter Lau berkata, syarikat itu menghargai kepercayaan yang diberikan oleh pucuk pimpinan dan rakyat Sarawak sejak sedekad yang lalu.

“Pada 10 tahun lalu, KTC mula melabur di Sarawak tanpa sebarang pekerja. Hari ini, didorong oleh keyakinan kami terhadap modal insan di negeri ini, kami berbangga dapat menggaji 400 warga Sarawak yang mewakili 32.5 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja KTC.

“Ini membuktikan keberkesanan pentadbiran, sistem pendidikan dan dasar kebajikan Sarawak dalam melahirkan bakat yang sangat berdaya saing untuk sektor swasta,” katanya.

Menurut KTC, ia telah melabur RM300 juta di Sarawak setakat ini dengan menjana pendapatan tahunan sebanyak RM400 juta serta menguruskan aset operasi dan perdagangan bernilai RM140 juta.

Syarikat itu menyatakan kerjasama berkenaan akan memperkenalkan rangkaian produk dan pembungkusan eksklusif Gardenia ‘Edisi Sarawak’.

“Rangkaian produk khas ini dicipta sebagai hadiah istimewa dan simbol penghargaan tertinggi terhadap identiti unik dan warisan budaya masyarakat Sarawak,” tambahnya. – Bernama