

ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor menjalani latihan penggunaan selimut pemadaman kebakaran bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi insiden melibatkan kenderaan elektrik (EV). Foto BBP Bintangor
BINTANGOR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintangor terus memperkukuh keupayaan anggotanya dalam menghadapi insiden kebakaran melibatkan kenderaan elektrik (EV) menerusi latihan khas penggunaan selimut pemadaman kebakaran kenderaan elektrik yang diadakan semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, latihan itu bertujuan meningkatkan kemahiran serta tahap kesiapsiagaan anggota bomba dalam mengendalikan kebakaran kenderaan elektrik yang memerlukan pendekatan berbeza berbanding kenderaan konvensional.
Beliau berkata, latihan yang bermula pada 9.30 pagi itu melibatkan enam anggota bomba.
“Latihan ini bertujuan memberi pendedahan kepada anggota mengenai tatacara penggunaan selimut pemadaman kebakaran kenderaan elektrik sebagai salah satu kaedah mengawal dan memadam kebakaran melibatkan EV.
“Pendedahan secara berterusan amat penting bagi memastikan setiap anggota sentiasa bersedia menghadapi perkembangan teknologi automotif serta mampu mengendalikan insiden dengan selamat dan berkesan,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, penggunaan selimut pemadaman kebakaran merupakan antara kaedah yang digunakan untuk membantu mengawal kebakaran serta mengurangkan risiko penyebaran haba, khususnya yang melibatkan bateri litium pada kenderaan elektrik.
“Latihan ini turut memberi penekanan terhadap pematuhan prosedur operasi yang betul, aspek keselamatan anggota serta teknik pengendalian peralatan ketika menghadapi situasi kecemasan.
“Latihan berterusan seperti ini penting bagi memastikan anggota sentiasa mengikuti perkembangan teknologi semasa dan bersedia menghadapi cabaran baharu dalam bidang penyelamatan,” katanya.
Beliau berkata, latihan itu dikendalikan oleh beliau sendiri bersama Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Wan Azri selaku tenaga pengajar.
“Saya berharap ilmu dan kemahiran yang diperoleh menerusi latihan ini dapat meningkatkan kompetensi anggota bomba.
“Usaha ini penting bagi memastikan perkhidmatan penyelamatan yang diberikan kepada masyarakat sentiasa cekap, selamat dan profesional,” katanya.
Oleh Earl Anek




