SIBU: Penganjuran Kem Pertolongan Cemas oleh Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang Sibu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan mempelajari pengetahuan dan kemahiran pertolongan cemas.
Pengerusi BSMM Cabang Sibu, Penghulu Chua Hiong Kee berkata, ia juga berfungsi sebagai peringatan penting tentang tindakan segera yang boleh diambil oleh individu untuk memberikan bantuan tepat pada masa dalam kecemasan.
“Sesetengah daripada anda mungkin beranggapan bahawa mempelajari pertolongan cemas adalah satu usaha yang besar dan sebaiknya diserahkan kepada kakitangan perubatan, tetapi sebenarnya ia mudah tanpa kerumitan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian sambutan Hari Pertolongan Cemas Sedunia 2024 bertemakan ‘Pertolongan Cemas dan Sukan’ di Ibu Pejabat Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang Sibu, hari ini.
Katanya, BSMM Cabang Sibu menawarkan kursus pertolongan cemas bertauliah dan kursus pertolongan cemas asas/standard selama dua hari.
“Manakala kursus pertolongan cemas di setiap sudut kami mengambil masa beberapa jam sahaja,” ujarnya.
Beliau berkata, mengetahui bahawa asas pengetahuan pertolongan cemas membuat perbezaan yang besar dalam sebarang kemalangan atau kecemasan.
“Adalah penting untuk semua orang menyedari dan mengakses pengetahuan pertolongan cemas untuk menyediakan diri mereka untuk menghadapi krisis atau kecemasan,” kata beliau.
Majlis perasmian sambutan tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek.
Turut hadir, Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling, Penasihat Kehormat BSMM Cabang Sibu, Datuk Lau Ngie Hua, Pengerusi BSMM Cabang Sibu, Penghulu Chua Hiong Kee dan Pengerusi Pengelola sambutan tersebut Normah Abdulrahman.
Oleh Akun Giman