
BINTULU: Pustaka Negeri Sarawak (PNS) Cawangan Miri dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) mempelawa penyertaan murid-murid sekolah rendah berusia enam hingga 12 tahun untuk menyertai Pertunjukan Fesyen Kitar Semula 2025 yang akan berlangsung di Pusat Beli-Belah ParkCity pada 23 Mac ini.
Menurut kenyataan PNS Cawangan Miri, pertandingan tersebut akan diadakan pada Ramadan dengan tema Hari Raya.
Berbeza daripada acara fesyen biasa, pertandingan itu bertujuan memupuk kreativiti murid-murid dalam mereka cipta busana tradisional seperti baju kurung, kebaya, dan baju Melayu menggunakan bahan kitar semula.
Inisiatif tersebut juga bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar dan menggalakkan gaya hidup hijau.
Para peserta akan menggunakan bahan terpakai seperti kertas, plastik, kain lama, dan kotak untuk menghasilkan pakaian yang inovatif dan menarik.
Selain mengasah daya cipta, pertandingan itu juga mendidik murid-murid tentang kepentingan mengurangkan pembaziran dan pencemaran, selaras dengan usaha global dalam mempromosikan fesyen lestari.
Hadiah wang tunai lumayan menanti pemenang tempat pertama, kedua, dan ketiga, selain lima hadiah sagu hati.
Pemenang juga akan menerima pengiktirafan khas serta peluang untuk mempamerkan busana mereka kepada umum.
Pendaftaran boleh dilakukan melalui kod QR yang tertera di poster atau melalui pautan https://shorturl.at/0rGXk.
Tarikh tutup penyertaan adalah pada 20 Mac, manakala sesi penilaian akan berlangsung pada 23 Mac, bermula jam 2.00 petang.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi pihak penganjur di talian 085-422 525 (Shirley Szebah Mambai/Pamella Gandang) atau layari media sosial Pustaka Negeri Sarawak Miri.
OLEH CAROLYNE UTIH