Penghadang keselamatan dipasang berhampiran SJK Sungai Apong

Facebook
WhatsApp
KESELAMATAN…Kerja pemasangan penghadang keselamatan di sepanjang longkang berhampiran SJK Sungai Apong bagi mengurangkan risiko kemalangan melibatkan murid sekolah.

KUCHING, 30 Oktober: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) telah memasang penghadang keselamatan di sepanjang longkang besar dan dalam berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Sungai Apong bagi mengurangkan risiko kemalangan melibatkan murid sekolah.

Kerja pemasangan itu dilaksanakan menggunakan peruntukan MBKS sendiri susulan lawatan tapak Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng bersama Ahli Majlis, Chai Ju Loon dan seorang pegawai MBKS sebelum ini.

KENANGAN…Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng merakamkan gambar kenangan bersama pihak berkaitan selepas pemasangan penghadang keselamatan berhampiran SJK Sungai Apong.

Lawatan berkenaan bertujuan meninjau keadaan persekitaran sekolah serta mengenal pasti aspek keselamatan yang memerlukan perhatian, khususnya di kawasan longkang tepi jalan yang tidak mempunyai penghadang.

Keadaan tersebut dikenal pasti berpotensi membahayakan murid, terutama ketika hujan lebat apabila paras air meningkat, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap risiko kanak-kanak terjatuh ke dalam longkang.

Susulan itu, pemasangan penghadang keselamatan telah disiapkan bagi menyediakan perlindungan tambahan kepada murid dan ibu bapa yang menggunakan laluan berkenaan ketika menghantar serta mengambil anak-anak dari sekolah.

Menurut Wee, langkah tersebut merupakan tindakan susulan terhadap isu keselamatan yang dikenal pasti semasa lawatan tapak berkenaan.

Beliau menegaskan bahawa keselamatan kanak-kanak perlu sentiasa diberi keutamaan dan sebarang risiko yang dikenal pasti harus ditangani lebih awal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Sehubungan itu, MBKS menggunakan peruntukan sendiri untuk melaksanakan kerja penambahbaikan berkenaan demi memastikan persekitaran sekolah lebih selamat.

Usaha tersebut juga merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan MBKS menerusi Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) di bawah Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Inisiatif itu memberi penekanan terhadap penyediaan persekitaran sekolah yang lebih selamat serta memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak diambil kira dalam setiap penambahbaikan infrastruktur awam.

Oleh Norman B