DEBAK: Tindakan pantas dua penghuni Rumah Jerai, Debak memadam kebakaran menggunakan dua alat pemadam api telah berjaya menyelamatkan rumah panjang mereka daripada hangus.
Ketua Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong menerima panggilan berkaitan kebakaran itu sekitar jam 10.18 malam tadi.
“Kebakaran melibatkan ruang bilik tidur di tingkat atas satu pintu rumah panjang dan anggaran kemusnahan bilik tersebut adalah 40 peratus melibatkan perabot dan bahagian siling,” katanya.
Muhammad Rais berkata jumlah keseluruhan pintu rumah panjang iaitu 50 pintu jenis separuh kekal dua tingkat tidak terjejas.
“Kebakaran telah dipadamkan oleh penduduk rumah panjang dengan menggunakan dua unit alat pemadam api dan sumber air paip dari bahagian pintu rumah yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu seramai enam anggota BBP Betong yang diketuai oleh PBK II KUP Abang Jamadilhir Abang Mostafa bersama tujuh anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Debak telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi bantuan memadamkan kebakaran tersebut.
“Kebakaran tersebut tiada melibatkan sebarang kecederaan mangsa dan kemalangan jiwa,”katanya
Dalam pada itu, Muhammad Rais memuji tindakan pantas dua penduduk memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api itu telah berjaya menyelamatkan rumah panjang sepanjang 50 pintu itu daripada terbakar.