Kebajikan rumah panjang, pembangunan masyarakat Iban terus diberi perhatian

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii menerima cenderamata daripada wakil Pengerusi MDS.

SARIKEI: Pembangunan dan kebajikan masyarakat di rumah panjang akan terus diberi perhatian, termasuk menerusi penyediaan kemudahan asas, pembaikan kediaman serta usaha memastikan keperluan masyarakat Iban tidak terpinggir dalam arus pembangunan.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, tuai rumah memainkan peranan penting sebagai tonggak kehidupan masyarakat Iban serta memelihara keharmonian komuniti.

“Para tuai rumah ialah tonggak kepada kehidupan masyarakat Iban. Di bawah kepimpinan mereka, rumah panjang bukan sekadar tempat kediaman.

“Ia adalah institusi kekeluargaan, pusat kejiranan serta penjaga adat dan cara hidup yang diwariskan oleh nenek moyang kita sejak turun-temurun.

“Dalam setiap perkongsian dan perhimpunan di rumah panjang, tersimpan nilai kebersamaan, rasa syukur dan semangat hidup bermuafakat yang menjadi teras kehidupan masyarakat Iban,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Persatuan Tuai-Tuai Rumah Sarikei di Dewan Sentral Sarikei, kelmarin.

Huang berkata, kebajikan masyarakat Iban sentiasa menjadi antara perkara yang diberi perhatian sepanjang beliau menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Sejak awal lagi, kebajikan masyarakat Iban sentiasa menjadi keutamaan dalam perjuangan saya.

“Saya sentiasa berusaha memastikan suara dan keperluan masyarakat Iban tidak terpinggir dalam arus pembangunan.

“Bagi saya, menjaga rumah panjang bermakna menjaga keharmonian dan merupakan asas kepada sebuah masyarakat yang aman dan sejahtera,” katanya.

Katanya, usaha meningkatkan keselesaan penduduk rumah panjang dilaksanakan dalam pelbagai bentuk, daripada pembinaan dan pembaikan rumah panjang hingga penyediaan kemudahan serta keperluan komuniti.

DATO Sri Huang Tiong Sii memotong kek di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat.

“Sepanjang tempoh saya berkhidmat sebagai wakil rakyat, saya telah meluluskan peruntukan bagi pembinaan dan pembaikan rumah panjang, membantu mendapatkan bekalan air dan elektrik, serta menyediakan keperluan seperti langsir, tikar, kerusi, meja dan peralatan lain untuk kegunaan komuniti,” katanya.

Tambahnya, kerjasama dengan pelbagai jabatan dan agensi turut membolehkan usaha menaik taraf kemudahan asas dilaksanakan.

“Dengan kerjasama Majlis Daerah Sarikei (MDS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) serta agensi berkaitan, pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan untuk menaik taraf kemudahan asas seperti jalan raya, jambatan, sistem perparitan dan infrastruktur lain yang diperlukan masyarakat setempat,” ujarnya.

Huang turut merakamkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi kerajaan yang memberikan kerjasama dalam pelaksanaan projek pembangunan serta menangani keperluan masyarakat.

“Setiap bantuan dan sumbangan mungkin kelihatan kecil pada pandangan sesetengah pihak, namun saya percaya ia membawa makna yang besar kepada keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

“Saya akan terus berusaha sedaya upaya kerana tanggungjawab ini merupakan satu amanah yang saya pikul dengan penuh komitmen dan keikhlasan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas perhatian terhadap pembangunan dan kebajikan masyarakat Iban.

“Di bawah kepimpinan beliau, peruntukan disalurkan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi membantu rakyat memperbaiki kemudahan asas, meningkatkan keselesaan hidup dan memajukan kawasan luar bandar.

“Ini adalah bukti bahawa suara dan keperluan rakyat sentiasa didengari serta diberi perhatian oleh kerajaan dan tiada masyarakat yang dibiarkan tertinggal dalam arus pembangunan Sarawak,” katanya.

Jelasnya, pencapaian pembangunan di Sarikei merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak dan bukan usaha mana-mana individu semata-mata.

“Apa yang telah kita capai hari ini bukanlah usaha seorang individu, tetapi hasil kerjasama dan semangat kebersamaan seluruh masyarakat Sarikei,” tambahnya.

Katanya, masih terdapat keperluan rakyat dan pembangunan yang perlu diberi perhatian, justeru usaha berkhidmat kepada masyarakat perlu diteruskan.

“Selagi saya diberikan ruang dan kesempatan untuk berkhidmat, saya akan terus turun padang, mendengar suara rakyat, memperjuangkan pembangunan Sarikei dan menjaga kebajikan seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Masih banyak yang perlu kita lakukan. Masih banyak pembangunan yang perlu kita teruskan dan banyak keperluan rakyat yang perlu kita perjuangkan.

“Sebab itu, semangat kita tidak boleh luntur dan usaha kita tidak boleh terhenti. Agi idup, agi ngelaban!” katanya lagi.

Oleh Earl Anek