
KUCHING: Tindakan pantas dan kecekapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya mengawal kebakaran dalam tempoh kurang 20 minit, berjaya menyelamatkan premis di Brighton Square, Jalan Song, daripada dijilat api, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 11.56 pagi, sebelum menggerakkan anggota BBP Tabuan Jaya ke lokasi.
Pasukan BBP Tabuan Jaya yang diketuai Komander Operasi PBK I Danniel Teo Wee Chiet memaklumkan api tiba-tiba marak di ruangan dapur.
“Jentera bomba tiba di lokasi pada 12.07 tengah hari, dan operasi pemadaman dimulakan segera.
“Kebakaran melibatkan ruang dapur, dan memusnahkan hampir separuh kawasan tersebut.
“Operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada 12.15 tengah hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pihak bomba, ujarnya, turut menjalankan pemeriksaan lanjut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 12.40 tengah hari.
Seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera FRT terlibat dalam operasi ini, dan turut hadir di lokasi kejadian, tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pemilik premis, Nicholas Jee Xang Ping, turut berada di tempat kejadian dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa serta punca kebakaran masih dalam siasatan.
Oleh Masrin Affirah