Kebakaran belukar 0.8 hektar berhampiran STOLport Bebuling berjaya dipadam

Facebook
WhatsApp
KEBAKARAN belukar seluas kira-kira 0.8 hektar berhampiran STOLport Bebuling berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba, semalam. Foto BBP Betong

SPAOH: Kebakaran belukar seluas kira-kira 0.8 hektar berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba, semalam.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.28 pagi.

Susulan laporan tersebut, sebuah jentera bersama anggota bomba segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan operasi pemadaman.

Pasukan bomba tiba pada 8.57 pagi dan mendapati kebakaran belukar benar-benar berlaku di kawasan berkenaan.

Operasi pemadaman dimulakan seminit kemudian menggunakan satu aliran salur bantu mula dan satu nozel, dengan bekalan air daripada pam jentera.

Kebakaran yang melibatkan kawasan kira-kira 0.8 hektar itu berjaya dikawal sebelum dipadamkan sepenuhnya.

Bagaimanapun, operasi berdepan cabaran apabila tiada sumber air berdekatan, termasuk sumber air terbuka dan pili bomba, di lokasi kejadian.

Keadaan terkawal sepenuhnya pada 10.50 pagi sebelum operasi ditamatkan pada 11.00 pagi.

Operasi diketuai PBK II Kussary Abdul Latip bersama kekuatan anggota BBP Betong, manakala tiada agensi lain terlibat. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Oleh Adi Safarman