Kunci tertinggal dalam kereta, lelaki minta bantuan APM

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kereta yang terkunci selepas kunci ditinggalkan di dalam kenderaan di Terminal Bas Medan Betong, awal pagi tadi. Foto APM Betong

BETONG: Kecuaian meninggalkan kunci di dalam kereta menyebabkan seorang lelaki terpaksa mendapatkan bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) selepas pintu kenderaannya terkunci di Terminal Bas Medan Betong, awal pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor, berkata Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Betong menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 5.59 pagi berhubung kejadian itu.

Menurutnya, pengadu memaklumkan kunci keretanya tertinggal di dalam kenderaan sehingga menyebabkan pintu tidak dapat dibuka.

“Susulan menerima panggilan, tiga anggota APM daripada Skuad Bravo segera digerakkan ke lokasi pada 6.01 pagi dan tiba empat minit kemudian,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, setibanya di lokasi, anggota mendapati pintu kereta pengadu tidak dapat dibuka kerana kunci berada di dalam kenderaan.

ANGGOTA APM berjaya membuka pintu kereta seorang lelaki yang terkunci selepas kunci kenderaan tertinggal di dalam kereta di Terminal Bas Medan Betong, awal pagi tadi. Foto APM Betong

“Anggota kemudian menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kereta secara berhati-hati menggunakan teknik mengumpil,” katanya.

Usaha itu berjaya dan pintu kereta dapat dibuka sebelum kunci diserahkan semula kepada pengadu.

Operasi yang melibatkan tiga anggota itu selesai pada 6.15 pagi.

Operasi itu turut melibatkan jarak perjalanan kira-kira dua kilometer sehala dengan penggunaan sebuah kenderaan pacuan empat roda serta peralatan penyelamat berkaitan.

Mohammad Noor pada masa sama mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan memastikan kunci dibawa bersama sebelum meninggalkan kenderaan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Oleh Adi Safarman