SIMANGGANG: Tindakan pantas anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman berjaya memadam kebakaran membabitkan longgokan kayu di belakang sebuah rumah di Taman Gamang Height, di sini, semalam.
Menurut kenyataan media BBP Sri Aman, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 12.20 tengah hari.
Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran benar-benar berlaku membabitkan longgokan kayu yang berada di belakang rumah pengadu.
Komander Operasi, PBK I Noor Faqriakmal berkata, pasukan membuat penilaian awal sebaik tiba di lokasi dengan mengenakan kelengkapan perlindungan diri (PPE) lengkap.
Pasukan kemudian membentangkan satu salur bantu mula dengan menggunakan bekalan air dari tangki jentera bagi menjalankan kerja-kerja pemadaman.
Operasi diteruskan sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya dan keadaan di lokasi disahkan selamat.
Operasi melibatkan sebuah jentera bomba (FRT) dengan kekuatan seorang pegawai dan empat anggota serta sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan dua anggota.
Tiada pegawai kanan atau agensi lain dilaporkan hadir di lokasi kejadian.
BBP Sri Aman turut mengingatkan orang ramai supaya memastikan bahan mudah terbakar seperti kayu dan sisa binaan tidak dilonggokkan berhampiran kediaman bagi mengurangkan risiko kebakaran.
Oleh Adi Safarman





