MIRI: Sarawak Energy menerusi Syarikat SESCO Berhad (SESCO) terus komited dalam usaha membanteras kes kecurian elektrik, terutamanya melibatkan aktiviti perlombongan mata wang kripto.
Aktiviti ini bukan sahaja mengakibatkan kerugian kewangan yang besar, tetapi juga menimbulkan risiko keselamatan yang serius.
Menurut satu kenyataan, baru-baru ini, tiga kes kecurian elektrik berkaitan perlombongan mata wang kripto telah dikesan di Jalan Acacia dan Pujut, Miri.
“Aktiviti haram ini melibatkan pemasangan tidak sah di sebuah rumah teres dua tingkat dan rumah kedai tiga tingkat, di mana kabel elektrik disambung terus untuk mengendalikan 55 pelayan perlombongan mata wang kripto.
“Kes ini berjaya dibongkar hasil hubungan dengan kes terdahulu serta laporan awam. Pemeriksaan oleh pasukan SESCO mendapati sambungan kabel secara langsung telah memintas meter elektrik dan disambungkan terus ke bekalan utama, mengakibatkan kerugian kewangan melebihi RM36,000 sebulan.
“Semua sambungan haram tersebut telah diputuskan, dan peralatan perlombongan serta peranti elektronik lain yang ditemui di lokasi telah dirampas sebagai bahan bukti,” katanya.
Katanya, siasatan polis masih dijalankan, dan suspek yang terlibat berdepan dakwaan di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 dan/atau penjara lima tahun,” katanya.
Menurut Sarawak Energy, operasi perlombongan mata wang kripto menggunakan tenaga elektrik yang tinggi dan sering melibatkan pendawaian tidak standard yang membahayakan.
“Kecurian elektrik bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga meningkatkan risiko kebakaran elektrik serta kerosakan infrastruktur, yang boleh membawa kepada kemalangan jiwa dan gangguan bekalan elektrik kepada premis berdekatan.
“Dengan peningkatan trend perlombongan mata wang kripto, Sarawak Energy akan memperhebatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi menangani aktiviti yang menggunakan bekalan elektrik curi.
“Syarikat ini juga terus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk melindungi keselamatan awam dan memastikan kebolehpercayaan bekalan tenaga,” katanya.
Dalam pada itu, pemilik premis dinasihatkan supaya berhati-hati apabila menyewakan hartanah mereka untuk mengelakkan terlibat dalam aktiviti haram oleh penyewa.
Sarawak Energy turut menggesa agar meter elektrik didaftarkan atas nama penyewa bagi mengurangkan risiko pemilik dikenakan tindakan undang-undang.
Orang ramai turut diingatkan agar berwaspada terhadap individu yang menawarkan bekalan elektrik secara percuma atau murah kerana ia mungkin berkait dengan aktiviti kecurian elektrik.
Sebarang maklumat mengenai kecurian elektrik boleh dilaporkan kepada Sarawak Energy menerusi pusat khidmat pelanggan di talian 1-300-88-3111 atau melalui e-mel di customercare@sarawakenergy.com.