SARATOK: Kegiatan perjudian tambah nilai dalam talian di sebuah premis di Pekan Saratok terbongkar selepas Bahagian Siasatan Jenayah Dadah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok menahan dua wanita tempatan dalam operasi berasingan, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kedua-dua tangkapan dilakukan menerusi Op Dadu yang diketuai Inspektor Hendry Muji bersama sepasukan anggota BSJD IPD Saratok.
Menurutnya, dalam tangkapan pertama kira-kira 11.52 pagi, seorang wanita tempatan berusia 25 tahun dari Sibu ditahan ketika berada di kaunter sebuah premis di Pekan Saratok kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian tambah nilai atas talian.
“Pemeriksaan mendapati suspek turut memiliki sebuah telefon bimbit Redmi C1 berwarna hitam, sebuah kotak berwarna putih serta sejumlah wang tunai pelbagai nilai.
“Saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif. Semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah pada 2025,” katanya dalam kenyataan.
Siasatan awal mendapati wanita terbabit mengaku menjadi ejen jualan judi tambah nilai atas talian sejak kira-kira sebulan lalu dan menjadikan kegiatan itu sebagai sumber pendapatan sampingan.
Dalam operasi kedua kira-kira 12.27 tengah hari, polis menahan seorang lagi wanita tempatan berusia 22 tahun dari Bintangor di sebuah premis di Pekan Saratok kerana disyaki melakukan kesalahan sama.
Daripada suspek kedua, polis merampas sebuah telefon bimbit Redmi C1 berwarna biru, sebuah kotak berwarna oren bertulis HUAWEI serta sejumlah wang tunai dalam pelbagai nilai.
“Suspek kedua juga mengaku menjalankan aktiviti menjual judi tambah nilai atas talian sejak sebulan lalu dengan menyasarkan pelanggan di sekitar Pekan Saratok.
“Saringan air kencing mendapati negate dan semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan polis memaklumkan status kedua-dua kes adalah selesai.
Oleh Adi Safarman





