LINGGA: Sebanyak 142 pintu di lapan rumah panjang di kawasan Lingga menerima sumbangan air mineral daripada Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, sebagai usaha membantu meringankan keperluan bekalan air minuman penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, sumbangan tersebut disalurkan kepada penduduk di lapan rumah panjang yang terlibat bagi memastikan keperluan asas khususnya bekalan air minuman dapat dibantu.
Beliau berkata, penerima terdiri daripada Rumah Panjang Petricsia yang mempunyai 39 pintu, Rumah Panjang Anthony (10 pintu), Rumah Panjang Laka (17 pintu) dan Rumah Panjang Jemmy (23 pintu).
Turut menerima sumbangan ialah Rumah Panjang Unok melibatkan 14 pintu, Rumah Panjang Pengarah (16 pintu), Rumah Panjang Sang (8 pintu) dan Rumah Panjang Pridu (15 pintu).
Menurutnya, bantuan berkenaan amat bermakna kepada penduduk, khususnya dalam membantu memenuhi keperluan harian mereka.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ahli Parlimen Batang Lupar atas keprihatinan terhadap keperluan penduduk.
“Sumbangan ini memperlihatkan perhatian terhadap kebajikan masyarakat rumah panjang melalui bantuan yang menyentuh keperluan harian mereka,” katanya.
Beliau berharap keprihatinan dan kerjasama berterusan daripada pelbagai pihak dapat membantu meringankan beban penduduk serta memastikan kebajikan masyarakat di kawasan Lingga sentiasa diberi perhatian.
Oleh Adi Safarman





