KUCHING, 7 Oktober: Tiga kawasan di Sarawak merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 8.00 pagi hari ini.
Berdasarkan status IPU yang dipaparkan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Serian mencatat bacaan tertinggi iaitu 152.
Tebedu turut berada pada tahap tidak sihat dengan bacaan 137, manakala Betong merekodkan IPU 117.
Sementara itu, Kuching mencatat bacaan tertinggi dalam kategori sederhana iaitu 100, diikuti Samarahan (95), Sri Aman (94) dan Lubok Antu (91).
Bintulu dan Lundu masing-masing mencatat bacaan 82, diikuti Sarikei dan Belaga masing-masing 81 serta Kanowit (80).
Samalaju pula merekodkan IPU 77, Mukah (76), Miri (72), Sibu (71) dan ILP Miri (70).
Bacaan di kawasan lain turut berada pada tahap sederhana, iaitu Lawas (69), Kapit (68), Limbang (66) dan Bario (55).
Mengikut kategori IPU, bacaan antara 51 hingga 100 diklasifikasikan sebagai sederhana, manakala bacaan antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat.
IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar udara yang paling dominan.




