Tiga inisiatif MBKS mara final Anugerah Pembangunan Mampan JCI Malaysia 2026

Facebook
WhatsApp
PENGIKTIRAFAN…Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng menunjukkan sijil pengiktirafan bagi tiga inisiatif MBKS yang tersenarai dalam kelompok 29 finalis terbaik Anugerah Pembangunan Mampan JCI Malaysia 2026.

KUCHING: Tiga inisiatif Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) berjaya disenaraikan dalam kelompok 29 finalis terbaik Anugerah Pembangunan Mampan JCI Malaysia (JCIM SDA) 2026.

Pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan MBKS dalam menterjemahkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada inisiatif praktikal yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, pengiktirafan terhadap tiga inisiatif berkenaan membuktikan pihak berkuasa tempatan (PBT) mampu memainkan peranan penting dalam merealisasikan agenda pembangunan mampan di peringkat akar umbi.

“SDG tidak seharusnya kekal sebagai matlamat antarabangsa yang hanya dibaca, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan yang dapat dilihat, dialami dan memberi manfaat kepada masyarakat dalam kehidupan seharian.

“Sebagai pihak berkuasa tempatan yang paling dekat dengan masyarakat, MBKS mempunyai tanggungjawab untuk memperjuangkan SDG dan menterjemahkannya kepada inisiatif praktikal,” katanya.

Tiga inisiatif yang terpilih ialah Pasar Tani Semula Jadi Kuching: Mengembangkan Sumber Pendapatan, Memupuk Komuniti Mampan di bawah SDG 8: Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi; Inisiatif Tiang Pintar MBKS: Mentransformasikan Taman Awam kepada Komuniti Pintar, Selamat dan Rendah Karbon di bawah SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan; serta Ausome Park: Daripada Permainan Inklusif kepada Bandar Inklusif – Tiada Siapa Tertinggal di bawah SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamaan.

Menurut Wee, Pasar Tani Semula Jadi Kuching menyediakan platform kepada petani tempatan dan pengusaha kecil untuk memasarkan hasil mereka secara langsung kepada masyarakat, sekali gus menyokong sumber pendapatan, menggalakkan pertanian mampan serta memperkukuh ekonomi tempatan.

Katanya, Inisiatif Tiang Pintar MBKS pula memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan kualiti ruang awam menerusi ciri pintar yang menyokong aspek keselamatan, pemantauan alam sekitar dan pengurusan taman awam dengan lebih baik.

Sementara itu, Ausome Park mengetengahkan konsep ruang awam inklusif yang membolehkan kanak-kanak daripada pelbagai keupayaan bermain dan berinteraksi bersama, khususnya dalam memastikan kemudahan awam turut mesra kanak-kanak berkeperluan khas.

“Melalui Pasar Tani Semula Jadi Kuching, kita menyokong sumber pendapatan dan ekonomi tempatan. Menerusi Inisiatif Tiang Pintar MBKS, teknologi digunakan untuk menjadikan ruang awam lebih selamat, pintar dan mampan, manakala Ausome Park pula membawa aspirasi mewujudkan bandar inklusif tanpa meninggalkan sesiapa,” katanya.

Wee berkata, peranan MBKS bukan sekadar menyediakan perkhidmatan asas perbandaran seperti jalan raya, sistem perparitan, kutipan sampah dan penguatkuasaan, malah perlu menjadi pemangkin kepada pembangunan mampan.

“Setiap inisiatif sama ada besar atau kecil perlu menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup rakyat serta pembinaan bandar yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai hasil usaha bersama ahli majlis, kakitangan MBKS, rakan komuniti serta penduduk yang selama ini menyokong dan mengambil bahagian dalam pelbagai inisiatif pihak berkuasa tempatan itu.

Katanya, kejayaan tiga inisiatif MBKS berada dalam kelompok 29 finalis terbaik menjadi dorongan untuk meneruskan usaha berkenaan, selain membuktikan pelaksanaan SDG boleh bermula di peringkat tempatan termasuk di kawasan kejiranan, taman dan komuniti.

MBKS akan terus mengintegrasikan SDG dalam program serta inisiatif pembangunannya ke arah menjadikan Kuching Selatan sebuah bandar yang lebih inklusif, berdaya tahan, pintar dan mampan.