UNTUK ALBUM… Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim merakam kenangan bersama tetamu jemputan VIP dan para Hakim lain semasa Prosiding Rujukan (Reference Proceding) untuk Hakim Mahkamah atasan dari Sarawak yang telah meninggal dunia di Kompleks Mahkamah Kuching, semalam.
• Foto ANDRE OLIVEIRO
KUCHING: Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dengan kerjasama Persatuan Peguambela Sarawak, menghormati kenangan tiga Hakim Sarawak yang cemerlang melalui Prosiding Rujukan di Kompleks Mahkamah Kuching, semalam.
Hakim-hakim yang telah meninggal dunia ialah mendiang Dato’ Seri Tan Chiaw Thong iaitu bekas Hakim Mahkamah Tinggi Borneo yang meninggal dunia pada 20 Februari 2020; mendiang Datuk Denis Ong Jiew Fook iaitu bekas Hakim Mahkamah Rayuan yang meninggal dunia pada 24 Februari 2020; dan Allahyarham Tan Sri Datuk Amar Mohamad Jemuri Serjan iaitu bekas Ketua Hakim Borneo dan bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak yang meninggal dunia pada 26 Januari 2022.
Badan Kehakiman Malaysia Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dalam satu kenyataan memberitahu, Dato’ Seri Tan dilantik sebagai Peguam Negeri Sarawak pada 1966. Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Borneo pada 1973 dan berkhidmat sebegitu sehingga bersara.
“Datuk Denis Ong dilantik sebagai Penolong Peguam Negeri Sarawak pada 1973. Beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1987. Pada 1996, beliau dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, Malaysia dan berkhidmat sebegitu sehingga persaraannya. Beliau juga merupakan anak saudara kepada mendiang Dato’ Seri Tan.
“Allahyarham Tan Sri Mohamad Jemuri dilantik sebagai Peguam Negeri Sarawak pada tahun 1973. Beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Agung Malaysia pada tahun 1989. Beliau mempunyai penghormatan sebagai Ketua Hakim Borneo yang kelima dan terakhir serta Ketua Hakim yang pertama Sabah dan Sarawak,” katanya.
Prosiding Rujukan secara tradisinya diadakan untuk memberi penghormatan secara rasmi kepada hakim Mahkamah Tinggi dan pengamal undang-undang yang telah meninggal dunia.
Ketiga-tiga Hakim Sarawak ini telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan undang-undang di negara kita dan pencapaian mereka patut diberi pengiktirafan dan peringatan. Justeru, acara ini untuk memberi penghormatan kepada mereka semua.
Dalam pada itu, Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak bersama Persatuan Peguambela Sarawak juga ingin merakamkan ucapan simpati dan takziah kepada keluarga dan saudara mara ketiga-tiga Hakim yang telah meninggal dunia dan berharap pencapaian mereka terus menjadi penanda aras untuk semua.
Oleh NUR AIN OTSMAN