MIRI: Tiga cedera apabila kenderaan yang mereka naiki bertembung dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 3.3 meter berhampiran persimpangan SOP Gelasah, Niah dekat sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah, Rary Binjie berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada 7.50 pagi.
Katanya, sebaik menerima panggilan tersebut sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Batu Niah digerakkan ke lokasi.
“Ketika pasukan tiba, didapati memang berlaku kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD)
“Kedua-dua kenderaan itu telah terjunam ke dalam gaung berikutan perlanggaran itu,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa 4WD berusia 31 dan 25 tahun dikejarkan ke klinik di Suai, manakala mangsa berusia 39 tahun dalam SUV itu dibawa ke Hospital Bintulu dengan ambulans.
Punca kemalangan masih dalam siasatan.