MIRI: Seorang penunggang motosikal maut manakala seorang lelaki cedera ringan dalam kemalangan membabitkan motosikal dan sebuah kereta di Jejambat Boulevard, di sini tengah malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.18 tengah malam sebelum sepasukan bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Sentral Miri digerakkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga dan sebuah motosikal.
“Seorang lelaki penunggang motosikal disahkan meninggal dunia oleh pasukan kesihatan manakala pemandu kereta tersebut mengalami kecederaan ringan dan tidak tersepit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa yang cedera menerima rawatan lanjut daripada pasukan kesihatan.
“Tiada operasi menyelamat dijalankan oleh pihak bomba. Pasukan hanya melakukan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak dan sisa kemalangan di lokasi kejadian.
“Operasi tamat pada 12.48 tengah malam selepas kerja pembersihan selesai,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling





