Proses bedah siasat mangsa nahas helikopter masih belum selesai – Pesuruhjaya Polis Sarawak

Facebook
WhatsApp
PESURUHJAYA Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah. Foto Bernama

MIRI: Proses bedah siasat kesemua lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di Long Lellang, pada Selasa lepas masih belum selesai setakat 5.00 petang ini, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah.

“(Bedah siasat) masih berjalan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Difahamkan, proses bedah siasat berkenaan yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Miri mengambil masa berikutan keadaan jasad mangsa yang rentung dan tidak sempurna, sekali gus memerlukan pemeriksaan dilakukan secara teliti.

Tinjauan Bernama di lokasi mendapati pintu pagar ke Jabatan Forensik Hospital Miri ditutup dan orang luar tidak dibenarkan memasuki kawasan berkenaan.

Pengamal media yang menunggu sejak pagi di lobi utama bangunan lama hospital itu juga tidak melihat kelibat waris mangsa di kawasan berkenaan.

Pihak Bernama difahamkan selepas proses bedah siasat selesai, sampel asid deoksiribonukleik (DNA) yang diambil akan dihantar ke Jabatan Kimia di Kuching untuk dianalisis bagi proses pengecaman rasmi.

Selepas proses analisis dan pengecaman selesai, barulah jasad mangsa dapat dituntut waris masing-masing untuk dibawa pulang.

Pada Selasa, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang, terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport).

Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.- Bernama

IPU tidak sihat masih dominasi Sarawak

KUCHING: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat masih mendominasi Sarawak apabila 13 daripada 20 stesen pemantauan merekodkan