PEMILIK anjing di Sarawak diingatkan untuk memberi vaksin kepada binatang peliharaan mereka untuk mencegah daripada rabies atau menghadapi tindakan di bawah Ordinan Kesihatan Awam Veterinar.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS), Dr Adrian Susin Ambud berkata, anjing di Sarawak mesti diberi vaksin setiap tahun mengikut Perintah Vaksinasi Anti-Rabies.
Katanya, pemilik anjing yang tidak mematuhi perintah itu boleh didenda hingga RM2,500 di bawah Seksyen 40 (7) Ordinan.
“Anjing tanpa bukti vaksinasi boleh ditahan atau dikeluarkan di bawah seksyen ini.
“Keputusan berkenaan dikenakan ekoran daripada dua lagi orang dilaporkan meninggal akibat rabies di Sarawak pada 13 Mac lalu, menjadikan jumlah kematian menjadi 31 orang sejak wabak diisytiharkan di negeri ini pada tahun 2017, katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, Dr Adrian berkata bahawa, jabatan itu telah melakukan ujian rabies pada 150 sampel haiwan tahun ini, dengan 31 ujian positif.
Menurutnya, jabatan itu telah melakukan sejumlah 202,700 vaksinasi anti-rabies di seluruh Sarawak hingga kini.
“Semua pemilik anjing diminta agar anjing mereka diberi vaksin di pejabat verterinar bahagian terdekat.
“Pengawasan dan vaksinasi berterusan di seluruh Sarawak akan dilakukan oleh jabatan,” katanya.
Beliau juga meminta para pencinta haiwan untuk tidak menggunakan status vaksinasi yang tidak diketahui dan segera mendapatkan rawatan perubatan jika digigit oleh binatang, bahkan binatang peliharaan mereka sendiri.
Di samping itu, katanya pemilik anjing mesti memastikan haiwan peliharaan mereka berada di bawah kawalan yang berkesan dan mereka yang membiarkan anjing mereka berkeliaran bebas di jalanan boleh dikenakan denda hingga RM2,500 di bawah Ordinan Kesihatan Awam Verterinar.
Oleh JEAKQLEYN YACHO