KABONG: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, Mohd. Chee Kadir tidak memandang rendah tiga calon yang bersaing dengannya untuk Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) kali ini.
Baginya, setiap calon mempunyai kelebihan serta kekuatan masing-masing dan apa-apa sahaja boleh berlaku ketika PRN-12 ini.
“Dalam pilihan raya, kita jangan pandang rendah pihak lawan. Mereka ada kekuatan sendiri, kalau tidak takkanlah mereka bertanding.
“Jadi mungkin mereka ada kekuatan dan kelebihan masing-masing,” katanya semalam.
Tegasnya, soal PRN-12 tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan masa depan kerajaan dan rakyat.
“Jadi, saya menasihatkan kepada semua bukan saja penyokong saya, tetapi rakyat keseluruhannya setiap kali pilihan raya.
“Pilihan raya kita tidak boleh pandang rendah kita harus bekerja kuat bersungguh sungguh dan perjelaskan apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dan apa yang akan kita rancang,” ujarnya.
Chee Kadir turut yakin pengundi di kawasan itu masih mahukannya sebagai wakil rakyat mereka.
“Bagi saya, saya telah melakukan kerja yang sepatutnya. Saya mahu memberikan tumpuan kepada apa yang telah saya lakukan atau rancang untuk DUN Kabong kelak.
“Semua yang telah saya rancang dalam tempoh lima penggal saya di DUN Kabong selama ini telah tercapai, jadi untuk kali ini juga saya serahkan kepada rakyat untuk menilainya dan mereka (pengundi) di Kabong juga mengenali saya,” tambahnya.
Oleh ADI SAFARMAN