SIBU, 10 November: Sebanyak 4,160 peserta termasuk dari luar negara bakal menyertai RSAWIT International Marathon 2026 di sini pada 22 November ini, yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM261,000.
Pengerusi penganjur Michael Lau berkata daripada keseluruhan peserta berdaftar, 98.46 peratus merupakan warga Malaysia, manakala selebihnya terdiri daripada 64 peserta antarabangsa dari 14 negara.
Beliau berkata, Sarawak mencatatkan penyertaan tertinggi dengan 3,666 pelari atau 88.13 peratus, diikuti Sabah (91) dan Kuala Lumpur (77).
“Bagi penyertaan antarabangsa, Kenya mencatatkan jumlah tertinggi dengan 29 pelari, diikuti Singapura (10), Brunei (lapan), China (lima), serta Indonesia dan Thailand masing-masing dua orang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Acara anjuran Rimbunan Sawit Berhad (RSB) dengan kerjasama Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian Sibu (DTTG) itu dijangka memperkukuh kedudukan Sibu sebagai destinasi pelancongan sukan.
Lau berkata empat kategori akan dipertandingkan, iaitu 42 kilometer (km) (maraton penuh), 21 km (separuh maraton), 10 km (larian kompetitif) dan larian santai 3 km.
Beliau berkata juara lelaki dan wanita kategori Terbuka Antarabangsa 42 km masing-masing bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.
“Bagi memastikan keselamatan peserta, Jalan Bujang Suntong akan ditutup sepenuhnya bagi kedua-dua arah dari 10.00 malam 21 November hingga 8.00 pagi keesokannya, manakala Jalan Tun Abang Haji Openg ditutup dari 5.30 pagi hingga 7.00 pagi pada 22 November,” katanya.
Lau berkata penganjuran kejohanan itu turut diserikan dengan pertandingan fotografi, pertandingan pakaian kreatif bagi peserta larian santai 3 km serta Marathon Bazaar yang berlangsung dari 20 hingga 22 November. – Bernama




