KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari kelima bagi mengesan mangsa terakhir Vesel Nelayan Tempatan (VNT) karam di perairan Pulau Burong, di sini sejak 17 Disember lalu telah ditamatkan pada jam 6.00 petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh, memaklumkan bahawa tiada penemuan baharu dalam tragedi kapal karam tersebut.
Bagaimanapun, operasi akan disambung semula sekiranya terdapat petunjuk baharu.
“Sepanjang lima hari operasi berlangsung, kawasan pencarian mencakupi keluasan 1671.92 batu nautika persegi, bermula dari perairan Tanjung Sipang hingga ke Triso.
“Pada hari terakhir, keluasan pencarian adalah 439.97 batu nautika persegi,”katanya dalam satu kenyataan.
Operasi ini melibatkan penyertaan 10 agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin (PPM), Pengawal Pantai Sarawak (SCG), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), dan beberapa agensi lain.
Bantuan tidak langsung turut diterima dari Jabatan Laut Malaysia Sarawak (JLM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS).
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak melalui talian 082-432544 atau 082-432016, atau terus menghubungi talian kecemasan 999.
Mangsa terakhir dikenali sebagai Chaloem Sonada, warga Thailand.
Untuk rekod, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, memaklumkan bahawa mangsa kelima, Thy Ny, warga Kemboja, diselamatkan oleh sebuah kapal di Tanjung Po, Muara Tebas, kelmarin.
Menurutnya, Thy Ny dibawa ke Sibu oleh kru kapal tersebut sebelum dirujuk kepada pihak Maritim Malaysia.
“Mangsa disahkan sebagai salah seorang nelayan yang terlibat dalam insiden bot karam di perairan Tanjung Sipang. Dia kini berada di Hospital Sibu untuk rawatan sebelum dihantar ke Kuching bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, tiga mangsa lain iaitu Khlok Sem dari Kemboja, serta Adikah dan Irman dari Indonesia, diselamatkan oleh bot nelayan tempatan di kawasan 3.5 batu nautika dari Pulau Burong.
Seorang lagi mangsa, Oeun Van, 37, turut ditemui selamat oleh nelayan tempatan di Sungai Serpan Laut, Asajaya.