BINTANGOR: Seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun meninggal dunia semalam selepas mengalami kecederaan serius dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Bakong/Meradong pada 18 September lalu.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital pada petang semalam.
“Pada 18 September 2026, kira-kira 4.30 petang, telah berlaku satu kemalangan jalan raya di Jalan Bakong/Meradong yang melibatkan sebuah motosikal jenis Honda dan sebuah motosikal jenis Demak.
“Siasatan awal polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda yang ditunggang oleh seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun, dari arah Bintangor menuju ke arah Jalan KJD.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, motosikal Honda tersebut dipercayai telah melanggar bahagian belakang motosikal jenis Demak yang berada di hadapannya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, impak pelanggaran menyebabkan motosikal Honda terjatuh di atas jalan raya, manakala mangsa tercampak dan terbaring di atas jalan.
“Motosikal Demak pula terjatuh di bahu jalan sebelah kiri.
“Semasa pihak polis tiba di tempat kejadian, penunggang motosikal Demak telah tiada di lokasi dan gagal dikesan, manakala motosikal yang ditunggangnya ditinggalkan di tempat kejadian.
“Berdasarkan keterangan saksi bebas yang berada di tempat kejadian, penunggang motosikal berkenaan dipercayai seorang lelaki warganegara Indonesia. Usaha mengesan penunggang tersebut masih dijalankan bagi membantu siasatan,” katanya.
Tansli berkata, mangsa mengalami kecederaan serius dalam kemalangan itu sebelum dibawa ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan.
“Pada semalam, 6.06 petang, mangsa telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sarikei.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.
Sehubungan dengan itu, polis meminta individu yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut supaya tampil bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zainal Abdul Ghafar di talian 011-11945095 atau Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Ranam Manja di talian 013-5687725 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya mengutamakan keselamatan ketika memandu atau menunggang.
“Pihak polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang, berhemah ketika berada di jalan raya serta memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan baik sebelum mengendalikan kenderaan.
“Pihak IPD Meradong turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberikan ketabahan serta dipermudahkan segala urusan,” ujarnya.
Oleh Earl Anek





