PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak sedang berusaha menyelesaikan masalah rumah terbengkalai di Sentoria Semariang Borneo Garden dengan mengambil langkah untuk mengatasi kekurangan pemaju penyelamat bagi projek tersebut.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, beliau telah berbincang dengan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang, yang ditugaskan untuk menjaga projek ini.
Katanya, masalah utama yang dihadapi adalah ketiadaan pemaju kedua atau pemaju penyelamat yang mampu meneruskan projek yang terbengkalai tersebut.
“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dua hari lepas.
“Kerajaan negeri akan berusaha untuk mengambil alih bahagian-bahagian yang boleh diambil alih untuk diteruskan oleh Kementerian Perumahan melalui Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Pameran Hidrogen Hijau di Menara Sarawak Energy di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Rahman juga menjelaskan bahawa pihak kementerian sedang dalam perbincangan untuk menangani isu status tanah yang terlibat, di mana beberapa kawasan tanah telah digazetkan oleh pihak berkuasa lain.
“Jika kontraktor penyelamat tidak dapat meneruskan projek ini, pihak kementerian akan membantu untuk mengambil alih dan melaksanakan projek ini. Itu pendekatan yang telah kita bincangkan,” katanya.
Untuk rekod, berdasarkan Laporan Peratusan Kemajuan projek yang diterima daripada pihak Sentoria Group, peratus keseluruhan projek siap adalah sebanyak 69.08 peratus sahaja, sehingga 31 Mei 2024 yang lepas.
Jumlah ini melibatkan 158 unit iaitu bagi kerja-kerja arkitek, seperti kerja jubin, kerja aluminium, pintu, kemasan siling, dan kerja cat, sebanyak 91 unit telah selesai.
Bagi kerja-kerja luaran, termasuk laluan belakang, kerja saliran, paip pembetungan, lubang pembetung, tempat letak kereta, pagar dawai rantai, dan pintu pagar, sebanyak 98 unit telah selesai manakala, 31 unit lagi masih tiada sebarang perkembangan langsung.
Oleh Mohd Neenatul Aizal