VALENTINE NGUMBANG
PANTU: Penduduk kawasan luar bandar akan tetap tenang mengharungi tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selagi kebun kekal menjadi lubuk rezeki mereka.
Ini kerana dengan turun ke kebun berdekatan kawasan rumah, penduduk luar bandar akan terus kekal meraih rezeki dengan menjual hasil tanaman masing-masing dari rumah ke rumah ke perkampungan berhampiran.
“Syukurlah tanaman Terung Dayak (Terung Asam) yang saya usahakan di kebun selama ini sudah pun mula membuahkan banyak hasil ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Buktinya saya telah pun menuai lebih 300 kilogram Terung Asam di kebun dan diborong oleh peniaga tempatan di sini dengan hasil pendapatan mencecah RM900,” kata Mary Anis, 64, dari Rumah Panjang Selantik Ili, Pantu.
Hasil jualan berkenaan katanya, digunakan untuk menampung keperluan isi rumah dengan pelaksanaan PKP diakui olehnya sedikit sebanyak menggugat pendapatan petani di kawasan luar bandar pada masa sekarang.
“Tidak ramai penduduk mahu bersesak ke pekan atau bandar demi membeli sayur-sayuran pada masa sekarang kerana khuatir dijangkiti oleh virus pembunuh senyap iaitu Covid-19.
“Atas sebab itulah saya mencadangkan pekebun luar bandar agar menjual hasil masing-masing secara bergerak ke kampung berdekatan daripada berhimpun di satu tempat tertentu dan terdedah kepada jangkitan pandemik berbahaya ini,” katanya.
Mary juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Sarawak kerana menyalurkan bantuan kewangan kepada penduduk pada waktu sukar ini demi mengurangkan kesukaran hidup mereka dalam mengharungi PKP.
“Kebun juga tidak mengeluarkan hasilnya pada setiap hari. Justeru pemberian Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Khas SarawakKu Sayang adalah tepat pada masanya demi membantu kami yang terjejas disebabkan oleh arahan PKP ini,”kata Mary.
Bagaimanapun Mary mengakui dia bersama keluarga kekal mematuhi langkah penjarakan sosial serta pemakaian penutup muka dan hidung ketika menghantar hasil jualan kebun ini ke kampung berdekatan.