
SRI AMAN: Seorang lelaki berdepan detik mencemaskan apabila kereta yang dipandunya terbakar sepenuhnya selepas terlibat dalam satu kemalangan kendiri di Jalan Pan Borneo, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melugu, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pemandu berusia 31 tahun itu berjaya menyelamatkan diri keluar dari kenderaannya sebelum ia marak dijilat api.
Katanya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.18 pagi.
Seramai sembilan anggota dari BBP Sri Aman diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fadhli Buyong, digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi pemadaman.
“Kebakaran melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Viva yang menghala ke Kuching. Kenderaan tersebut terbakar 100 peratus akibat kemalangan kendiri,” kata jurucakap JBPM.
Menurutnya, pasukan bomba menggunakan satu aliran salur bantu mula pam jentera dan sumber air dari tangki jentera untuk memadam kebakaran.
Komander operasi melaporkan bahawa hanya seorang mangsa terlibat dan berjaya keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) telah menjalankan pemeriksaan ke atas mangsa dan mendapati beliau berada dalam keadaan stabil serta hanya mengalami kecederaan ringan,” tambahnya.
Oleh Adi Safarman