KUCHING: Serian merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap 105 dan dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala kawasan lain di Sarawak mencatatkan bacaan pada tahap sederhana dan baik setakat 8.00 pagi hari ini.
Menurut Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) menerusi status IPU Sarawak, Serian (MCAQM) mencatat bacaan tertinggi berbanding kawasan lain di negeri ini.
Kawasan yang merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana ialah Kuching dengan 76, Samarahan (81), Sri Aman (78), Sarikei (59), Sibu (56), Mukah (52), Kapit (52), Bintulu (68), Samalaju (63), Miri (52), Lundu (92), Tebedu (72), Lubok Antu (79), Kanowit (64), Belaga (100), Lawas (54) dan Betong (74).
Sementara itu, tiga kawasan mencatatkan bacaan pada tahap baik iaitu ILP Miri dengan 33, Limbang (43) dan Bario (50).
Mengikut kategori IPU, bacaan antara 51 hingga 100 diklasifikasikan sebagai sederhana, manakala bacaan 101 hingga 200 berada pada tahap tidak sihat.
IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar yang paling dominan.
Oleh Shikin Mahmud





