SOUTHAMPTON: Manchester United memberi ruang kepada pengurus, Erik ten Hag untuk bernafas selepas mencatat kemenangan 3-0 di Southampton, hari ini hasil jaringan Matthijs de Ligt, Marcus Rashford dan Alejandro Garnacho.
Bagaimanapun, United terpaksa mengharungi serangan awal Southampton dan keputusannya mungkin jauh berbeza sekiranya Andre Onana tidak menyelamatkan sepakan penalti Cameron Archer ketika kedudukan 0-0.
Gol pertama United menerusi De Ligt dan gol pertama Rashford selepas enam bulan dengan cepat mengubah momentum memihak kepada pelawat sejurus sebelum tamat separuh masa pertama.
Derita Southampton bertambah apabila kapten, Jack Stephens dilayangkan kad merah 11 minit sebelum tamat perlawanan kerana mengasari Garnacho, yang melengkapkan jaringan pada masa kecederaan.
Saints kekal tanpa mata selepas empat perlawanan apabila kembali ke Liga Perdana, manakala kemenangan kedua United musim ini melonjakkan mereka ke tangga kelapan.
Ten Hag kekal mempertahankan jawatannya itu meskipun United menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan kelapan musim lalu.
Kekalahan berturut-turut sebelum rehat antarabangsa kepada Brighton dan Liverpool meningkatkan tekanan kepada pengendali dari Belanda itu.
Ten Hag meletakkan Casemiro di bangku simpanan selepas mempamer aksi hambar ketika tewas 0-3 di tangan Liverpool, tetapi pemain baharu, Manuel Ugarte juga terpaksa menunggu penampilan sulungnya sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.