Tedung tikus 1.2 meter ditangkap bawah almari rumah di Kampung Bungin

Facebook
WhatsApp
Anggota APM Spaoh berjaya menangkap seekor ular tedung tikus sepanjang 1.2 meter yang ditemui bersembunyi di bawah sebuah almari di sebuah rumah di Kampung Bungin, semalam. Foto APM Spaoh

SPAOH: Seekor ular tedung tikus sepanjang 1.2 meter berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Spaoh selepas reptilia berkenaan ditemui bersembunyi di bawah sebuah almari di sebuah rumah di Kampung Bungin, semalam.

Menurut kenyataan media APM Daerah Spaoh, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Spaoh menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita pada 8.01 malam yang memaklumkan kehadiran seekor ular berwarna hitam di dalam rumahnya.

Susulan laporan itu, Skuad Bravo APM Spaoh yang terdiri daripada tiga anggota bersama peralatan khas menangkap ular segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan tindakan.

Setibanya di rumah berkenaan, anggota APM melakukan pemeriksaan dan pencarian secara menyeluruh bagi mengesan kedudukan reptilia tersebut.

Hasil pemeriksaan mendapati ular berkenaan berada di bawah almari, sebelum ia dikenal pasti sebagai ular tedung tikus dengan anggaran panjang empat kaki.

Anggota APM kemudian menjalankan operasi menangkap ular dengan penuh berhati-hati menggunakan kaedah menyepit bagi mengelakkan sebarang risiko kecederaan.

Usaha tersebut berjaya apabila ular berkenaan dapat ditangkap tanpa menyebabkan kecederaan kepada anggota mahupun penghuni rumah.

Ular yang ditangkap itu kemudiannya dibawa ke PKOD APM Spaoh sebelum dilepaskan semula ke habitat asal yang jauh dari kawasan penempatan penduduk demi menjamin keselamatan orang awam.

Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada 8.42 malam dan semua anggota dilaporkan selamat kembali ke PKOD Spaoh.

APM Spaoh menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap kehadiran haiwan berbisa atau reptilia di kediaman masing-masing serta tidak cuba menangkapnya sendiri bagi mengelakkan risiko dipatuk.

Orang ramai yang berdepan situasi kecemasan boleh menghubungi APM Spaoh di talian 083-473006 atau 999 untuk mendapatkan bantuan.

Oleh Adi Safarman