SIBU: Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan insiden seorang anggota dari formasi 9 Briged, Sibu meninggal dunia setelah terkena tembakan tidak dikenal pasti hari ini.
Sel Perhubungan Raya Markas TDM menerusi kenyataan medianya memberitahu, ketika kejadian, anggota sedang melaksanakan latihan di kawasan am Song, bermula pada 21 hingga 29 September 2024.
Ia melibatkan kawasan am Kanowit – Nanga Dap – Song dan berkekuatan satu kompeni.
“Pada 23 September 2024 (hari kedua latihan) jam lebih kurang 2.45 pagi, sewaktu sedang berehat (berlabuh), Platun telah mendengar bunyi motosikal melalui jalan tidak berturap (jalan balak) berdekatan lokasi mereka berlabuh.
“Secara tiba-tiba, kedengaran bunyi tembakan yang dipercayai datang dari arah motosikal berkenaan.
“Curiga dengan tembakan tersebut, pemeriksaan perimeter dilaksanakan serta merta dan mendapati seorang anggota telah cedera akibat tembakan tersebut,” katanya.
Kenyataan itu memberitahu, anggota telah diberi rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song pada jam 4.00 pagi.
“Seterusnya anggota telah dirujuk ke Hospital Kapit untuk rawatan lanjut pada jam lebih kurang 5.00 pagi. Namun begitu, dukacita dimaklumkan bahawa anggota telah disahkan meninggal dunia pada jam 7.43 pagi di Hospital Kapit akibat kecederaan yang dialami,” ujarnya.
Menurut kenyataan itu lagi, satu laporan telah dibuat dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan.
“Masyarakat diingatkan agar tidak menularkan sebarang gambar atau maklumat berkenaan insiden tersebut.
“Berilah ruang kepada siasatan yang sedang dijalankan sekali gus menghormati waris dan ahli keluarga yang berdukacita dengan insiden ini.
“Rancangan pengurusan jenazah akan disempurnakan selepas proses bedah siasat selesai,” katanya.
Kenyataan itu menyatakan bahawa pihak waris yang berada di Sarikei telah dimaklumkan dan lokasi pengebumian akan dimaklumkan kemudian.
“TDM mengucapkan salam takziah kepada waris dan ahli keluarga yang terjejas dan mendoakan semoga diberikan kekuatan serta kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Song DSP Rowney Michael Jalak ketika dihubungi Bernama berkata anggota tentera yang terbabit dikenal pasti sebagai Petrus Linggi Liman, 29, mengalami kecederaan parah pada bahagian paha dan punggung kiri.
Beliau berkata usaha mengesan suspek yang belum dikenal pasti sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala bedah siasat dijadualkan dilakukan di Hospital Kapit esok.