IPU Mukah naik 55 mata, Kanowit kekal sangat tidak sihat

Facebook
WhatsApp
BACAAN IPU setakat 8.00 malam ini. Sumber NREB

KUCHING: Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Mukah melonjak 55 mata kepada 155 setakat 8.00 malam, manakala Kanowit kekal pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 218.

Menurut status IPU yang dikeluarkan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), bacaan Mukah meningkat daripada 100 pada 4.00 petang tadi kepada 155 pada 8.00 malam ini, sekali gus berubah daripada tahap sederhana kepada tidak sihat.

Kanowit pula mencatat bacaan 218, meningkat satu mata berbanding 217 pada 4.00 petang dan kekal pada tahap sangat tidak sihat.

Lubok Antu menunjukkan penurunan daripada 192 kepada 177, namun masih berada pada tahap tidak sihat.

Kapit turut mencatat bacaan pada tahap tidak sihat dengan 171, diikuti Sibu (165), Sri Aman (164), Serian (161), Bintulu (159), Kuching (159), Betong (157), Samalaju (157), Samarahan (157), Miri (126) dan Lundu (121).

Sarikei mencatat bacaan 99, manakala Limbang 93.

Sementara itu, bacaan pada tahap sederhana direkodkan di ILP Miri (95), Tebedu (91), Lawas (79) dan Bario (61).

Berbanding bacaan pada 4.00 petang tadi, selain peningkatan ketara di Mukah, beberapa kawasan turut mencatat peningkatan, termasuk Sibu sebanyak dua mata, Kuching dua mata, Samarahan dua mata, Sri Aman satu mata, Tebedu satu mata, Kanowit satu mata dan Betong satu mata.

Bacaan Miri pula menunjukkan penurunan paling ketara sebanyak 27 mata, daripada 153 kepada 126, diikuti Bario yang turun 25 mata, daripada 86 kepada 61, dan Lubok Antu yang turun 15 mata, daripada 192 kepada 177.

Dalam perkembangan berkaitan, semua sekolah rendah dan menengah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lubok Antu dan Kanowit ditutup sementara hari ini susulan keadaan jerebu, manakala Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan.

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak memaklumkan keputusan itu dibuat berdasarkan bacaan IPU di kedua-dua daerah pada 9.00 pagi hari ini.

Bagi sekolah berhampiran daerah yang merekodkan bacaan melebihi 200, guru besar dan pengetua boleh mempertimbangkan pelaksanaan PdPR dengan mengambil kira kesihatan dan keselamatan murid.

Sekolah juga boleh membuat persediaan untuk dibuka semula sekiranya trend bacaan IPU menunjukkan penurunan kepada bawah 200.

Mengikut klasifikasi IPU, bacaan 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala 201 hingga 300 pada tahap sangat tidak sihat.

Oleh Shikin Mahmud