KUCHING: Sarawak meneliti pendekatan pembangunan industri durian di Davao, Filipina, bagi mendapatkan input dalam usaha memperkukuh produktiviti, nilai tambah dan daya saing sektor durian di negeri ini.
Menurut kenyataan media Jabatan Pertanian Sarawak, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, mengetuai delegasi Sarawak dalam lawatan kerja ke Ladang Durian Belviz, sebuah perusahaan durian di Davao City, semalam.
Lawatan itu memberi peluang kepada delegasi meninjau secara dekat keseluruhan rantaian nilai industri durian, bermula daripada pengeluaran di ladang, pengendalian dan pemprosesan hasil, pemasaran sehingga pembangunan produk hiliran.
Selain meninjau operasi perusahaan berkenaan, delegasi turut diperkenalkan kepada kisah kejayaan Severino “Vering” Belviz, seorang pengusaha pertanian yang membina kejayaan menerusi pengalaman, kerja keras dan kesungguhan dalam sektor perladangan.
Beliau memulakan kerjaya sebagai pekerja di ladang pisang pada tahun 1970-an sebelum mengumpul pengalaman dalam pengurusan ladang berskala besar.

Berbekalkan pengalaman tersebut, beliau kemudiannya membangunkan perusahaan pertanian sendiri dengan menceburi pelbagai jenis tanaman, termasuk koko, kelapa, kopi dan seterusnya durian.
Kisah beliau memperlihatkan kepentingan ketekunan, inovasi dan pengurusan pertanian secara berterusan dalam membangunkan perusahaan agro yang berdaya maju.
Menerusi lawatan itu, delegasi Sarawak turut berpeluang meneliti dengan lebih dekat pendekatan pembangunan industri durian di Davao, khususnya hubungan antara pengeluaran di ladang dengan aspek pengendalian, pemasaran dan pembangunan produk bernilai tambah.
Pendekatan bersepadu tersebut menunjukkan kepentingan membangunkan industri pertanian yang bukan sekadar tertumpu kepada pengeluaran hasil mentah, tetapi turut merangkumi pengendalian selepas tuaian, pemprosesan dan pengembangan pasaran.
Pendedahan kepada keseluruhan rantaian nilai itu memberikan input yang bermanfaat kepada Sarawak dalam usaha memperkukuh sektor durian, terutama dari aspek peningkatan produktiviti, nilai tambah dan daya saing hasil pertanian.

Pembangunan rantaian nilai secara menyeluruh, daripada ladang kepada pasaran dan seterusnya produk hiliran, dilihat sebagai elemen penting dalam membina industri durian yang berdaya saing, bernilai tinggi dan mampan.
Lawatan berkenaan turut membuka ruang kepada delegasi Sarawak untuk meneliti potensi penerapan pengalaman serta pendekatan yang bersesuaian dengan keperluan dan keadaan industri pertanian di negeri ini.
Turut menyertai lawatan ialah Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat; Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Tanaman, Dr Maclin Dayod; serta Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perancangan, Benedict Teo Chung Beng.
Oleh Adi Safarman




