Projek keselamatan sempadan perlu disegerakan, PKS Telok Melano tunggu pelantikan kontraktor

Facebook
WhatsApp
DATUK Mustapha Sakmud ketika meninjau tapak pembinaan ICQS Serikin di Bau, hari ini.

BAU: Pusat Kawalan Sempadan (PKS) Telok Melano kini menunggu pelantikan kontraktor selepas proses tender terakhir selesai, dengan tempoh pembinaan dijangka mengambil masa 24 bulan selepas Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Mustapha, berkata beliau dimaklumkan bahawa proses tender projek berkenaan telah selesai dan kini menunggu pelantikan kontraktor serta pengeluaran SST.

“Yang di Telok Melano itu dijangka dua tahun jangka masa, itu belum, masih dalam proses tender.

“Dimaklumkan tender terakhir sudah dibuat dan sedang menunggu pelantikan kontraktor serta mengeluarkan SST,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan Pusat Pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin, hari ini.

Beliau berkata, projek-projek sempadan perlu dilaksanakan secara ‘fast-track’ berikutan kepentingannya terhadap keselamatan negara dan tidak wajar dilayan sebagai projek pembangunan biasa.

Katanya, teguran Perdana Menteri berhubung kelewatan projek-projek sempadan turut diberi perhatian dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang membabitkan kawasan Borneo.

“Apabila dibentangkan, ada kelewatan, bukan hanya di Sarawak. Sarawak ini baik, tetapi ada tempat lain, ada di Sabah terutamanya yang mengalami kelewatan.

“Jadi itu yang Perdana Menteri kata, kenapa projek-projek ini diselia oleh Majlis Keselamatan Negara sebab kita mahu projek ini ‘fast-track’,” katanya.

Menurutnya, semua agensi, jabatan, kementerian dan kontraktor yang terlibat perlu memahami bahawa projek membabitkan keselamatan negara perlu diletakkan dalam kategori “segera dan penting”.

Dalam perkembangan berkaitan, Mustapha berkata beliau akan membawa maklum balas hasil lawatan ke kedua-dua lokasi berkenaan kepada kementerian, jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan isu yang dikenal pasti diberi perhatian.

Beliau turut memuji kerjasama kerajaan Sarawak yang disifatkannya amat baik dalam memudahkan pelaksanaan projek-projek berkaitan sempadan di negeri ini.

Untuk rekod, projek ICQS Serikin, Bau bernilai RM43.66 juta itu mempunyai tempoh pembinaan selama 24 bulan.

Berdasarkan laporan kemajuan setakat 20 September 2026, projek berkenaan mencatat kemajuan fizikal 11.23 peratus berbanding 10.15 peratus yang dijadualkan, sekali gus mendahului jadual sebanyak enam hari.

Projek berkenaan dijangka siap dalam tempoh 12 hingga 14 bulan lagi. Skop pembinaan merangkumi bangunan utama dan kaunter pemeriksaan, empat unit kuarters Kelas G, surau, kantin, rumah pam, pusat pengumpulan sampah, rumah pengawal serta kemudahan mekanikal dan elektrikal.

Tapak projek seluas kira-kira 28.41 hektar (70.20 ekar) itu terletak sekitar 58 kilometer dari Kuching dan kira-kira tiga kilometer dari Pekan Serikin, berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia.

Oleh Shahrul Qaizat