LUBOK ANTU: Keselamatan sekeluarga dari Kampung Nanga Kesit, Lemanak dekat sini terancam setelah berlaku kejadian tanah susur pada kaki bukit di belakang kediaman mereka.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Lubok Antu, Leftenan Desem Samuel berkata, pihaknya segera mengerah empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lubok Antu ke lokasi setelah menerima panggilan semalam.
Setibanya di lokasi, anggota yang diketuai oleh Kopral (PA) Zulkaplie Abdullah mendapati berlaku kejadian tanah susur pada kaki bukit belakang kediaman pengadu itu.
“Faktor cuaca hujan lebat semalaman telah menyebabkan berlaku kejadian tanah susur pada kaki bukit di stor kediaman keluarga berkenaan.
“Bagaimanapun, runtuhan pada kaki bukit itu hanya menjejaskan bahagian parit rumah pengadu tersebut dan dipercayai masih boleh berlaku sekiranya hujan masih turun,” katanya.
Desem berkata pihak APM Daerah Lubok Antu akan sentiasa mengambil berat dan memantau perkembangan kes kejadian tanah susur di belakang kediaman keluarga mangsa berkenaan.
“Keluarga ini juga turut diingatkan agar bertindak menghubungi kami jika mengesan berlakunya pergerakan tanah di kawasan berkenaan,” katanya.
Orang ramai kata beliau juga dinasihat agar bertindak menghubungi pihaknya di talian 083-584639 atau talian kecemasan 999 jika kejadian seperti itu berlaku berdekatan kediaman mereka.
Oleh VALENTINE NGUMBANG