
SIBU: Usaha mencari penyelesaian untuk membaik pulih kawasan yang terjejas akibat tanah runtuh di Lorong Rantau Panjang Jaya berjalan lancar dan tidak mengalami kelewatan.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting menegaskan perkara tersebut semasa mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan MPS, hari ini.
Menurutnya, MPS bersama agensi berkaitan telah mengadakan mesyuarat sekali lagi hari ini untuk membincangkan perkara itu.
Dalam mesyuarat sebelum ini, mereka telah mencadangkan untuk melakukan cerucuk kepingan (sheet piling) di kawasan terjejas.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memberitahu, jika mengikut cadangan awal kami untuk melakukan cerucuk kepingan, mereka lebih memilih untuk membina rumah baharu bagi penduduk yang terjejas.
“Kami pada mulanya bersetuju untuk melakukan cerucuk kepingan dan kaedah ini adalah yang paling mahal, dengan anggaran kos sekitar RM7 juta.
“Itulah sebabnya kerajaan berpendapat bahawa adalah lebih wajar untuk membina rumah baharu bagi penduduk yang terjejas,” katanya.
Beliau menambah, kejadian tanah runtuh tersebut tidak berpunca daripada ciri reka bentuk.
“Menurut JPBNS, Jalan Song-Temalat di Kapit masih berisiko mengalami tanah runtuh walaupun selepas melantik empat perunding.
“Pembangunan di kawasan berbukit bukan sesuatu yang mudah seperti yang kita sangkakan. Kejadian seperti ini tidak pernah berlaku di Sibu,” kata beliau.
Tanah runtuh yang berlaku pada 4 Februari lalu telah menjejaskan 43 mangsa daripada 10 keluarga dari Lorong Rantau Panjang Jaya 7 dan 12.
Sejak kejadian itu, mangsa telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Komuniti Kampung Bahagia Jaya di sini.
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan Pengerusi MPS, Mohammed Abdullah Izkandar Roseley dan Setiausaha Majlis, Sait Enggang.
Oleh Akun Giman