BETONG: Seramai 663 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Bahagian Betong terus memainkan peranan penting sebagai penghubung utama antara kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, peranan KMKK bukan sekadar sebagai wakil masyarakat, malah merangkumi pelbagai aspek termasuk kebajikan, keselamatan, pengurusan bencana, adat, tanah, pembangunan infrastruktur serta penyampaian maklumat kerajaan.
Menurut beliau, hubungan rapat KMKK dengan masyarakat membolehkan pelbagai isu, keperluan dan aspirasi rakyat dikenal pasti serta disampaikan kepada kerajaan untuk tindakan sewajarnya.
“KMKK bukan sekadar menjadi wakil masyarakat, tetapi memainkan peranan sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat, khususnya dalam menyampaikan dasar, program dan inisiatif kerajaan, di samping membawa suara, pandangan dan keperluan masyarakat untuk perhatian pihak kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Bahagian Betong yang turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan Panglima Rentap hari ini.
Razi berkata, skop tanggungjawab KMKK amat luas, termasuk membantu pengurusan kebajikan masyarakat, pengesahan permohonan bantuan, pemantauan keselamatan setempat serta pengurusan bencana seperti mengenal pasti risiko, membantu pengurusan Pusat Pemindahan Sementara dan pengagihan bantuan kepada mangsa.
Katanya, KMKK turut memainkan peranan dalam urusan berkaitan tanah, termasuk membantu Jabatan Tanah dan Survei dalam pengesahan berkaitan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), selain membantu menyelesaikan pertikaian atau pertindihan tuntutan tanah.
“Dalam aspek penyampaian maklumat, KMKK berperanan menyampaikan dan menghebahkan maklumat berkaitan dasar kerajaan, program pembangunan serta perubahan polisi yang memberi impak kepada komuniti.
“Pada masa sama, KMKK turut mengumpul aduan, pandangan dan keperluan masyarakat serta memastikan maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah sahih dan tepat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas perhatian terhadap kebajikan KMKK, khususnya melalui pelarasan elaun yang menyaksikan kenaikan sebanyak RM400 sebulan berkuat kuasa 1 Januari tahun ini.

Susulan pelarasan itu, elaun Temenggong meningkat daripada RM1,600 kepada RM2,000, Pemanca daripada RM1,300 kepada RM1,700, Penghulu daripada RM1,100 kepada RM1,500, manakala Ketua Kaum meningkat daripada RM900 kepada RM1,300 sebulan.
Razi berkata, berdasarkan rekod terkini, Bahagian Betong mempunyai 663 KMKK yang terdiri daripada 50 Ketua Masyarakat dan 613 Ketua Kaum.
Daripada jumlah 50 Ketua Masyarakat itu, tujuh merupakan Pemanca, iaitu tiga di Daerah Betong, tiga di Daerah Saratok dan seorang di Daerah Pusa.
Bagaimanapun, katanya, Daerah Kabong masih belum mempunyai jawatan Pemanca.
Sehubungan itu, beliau memohon agar kerajaan Sarawak mempertimbangkan pewujudan jawatan KMKK baharu di kawasan yang bersesuaian, termasuk keperluan jawatan Pemanca bagi daerah-daerah di Bahagian Betong.
Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan struktur kepimpinan masyarakat dapat berkembang seiring dengan pertambahan penduduk, perkembangan kawasan penempatan serta perubahan keperluan masyarakat.
“Kita percaya penambahan dan penyesuaian struktur jawatan ini akan membantu memastikan setiap komuniti mendapat liputan kepimpinan yang sewajarnya, di samping memperkukuh lagi penyampaian perkhidmatan kerajaan di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama erat antara kerajaan Sarawak, pentadbiran Bahagian Betong dan KMKK perlu terus diperkukuh bagi memastikan agenda pembangunan negeri benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Apabila kedua-duanya bergerak seiring, kita dapat memastikan dasar dan pembangunan kerajaan benar-benar sampai kepada rakyat serta mengambil kira keperluan sebenar masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya.
Razi turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas kesudian meluangkan masa bersama KMKK Bahagian Betong, yang disifatkannya sebagai satu suntikan semangat kepada barisan kepimpinan masyarakat untuk terus melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi.
Oleh Adi Safarman





