Aisha Retno syukur raih Lagu Inggeris Tempatan Terbaik AIM25 menerusi ‘O.R.B.I.T’

Facebook
WhatsApp
AISHA Retno bersama adik lelakinya ketika ditemui media. Foto Nadya Victoria

KUCHING: Penyanyi Aisha Retno meluahkan rasa syukur selepas meraih anugerah Lagu Inggeris Tempatan Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM25) menerusi lagu ‘O.R.B.I.T’.

Aisha berkata, kemenangan itu amat bermakna buat dirinya dan pasukan selepas usaha menghasilkan karya berkenaan mendapat pengiktirafan daripada barisan juri.

“Alhamdulillah, dulu kami terlepas peluang untuk dicalonkan menerusi lagu Inggeris pertama kami, ‘WHUT’. Kemudian kami cuba menghasilkan lagi lagu Inggeris tempatan dan alhamdulillah, mendapat tempat di hati para juri.

“Terima kasih kepada AIM25, para juri, semua penyokong dan orang-orang Sarawak yang sentiasa memberikan sokongan,” katanya.

Menurut Aisha, beliau tidak menjangka akan meraih kemenangan tersebut sehingga berasa gementar ketika menerima trofi kerana tidak sempat menyediakan ucapan.

Katanya, pengiktirafan itu menjadi satu langkah penting dalam usaha memperkenalkan karya mereka kepada khalayak yang lebih luas.

“Harap selepas ini lebih ramai lagi orang menyanyikan lagu Orbit, insya-Allah,” katanya.

Aisha berkata, lagu ‘O.R.B.I.T’ merupakan antara karya yang diharapkan mendapat perhatian selepas pengalaman sebelum ini apabila lagu ‘WHUT’ yang dilancarkan pada 2022 tidak berpeluang dicalonkan dalam AIM.

“Sejujurnya, lagu ini memang kami harapkan untuk pergi, tetapi mungkin ketika itu belum ada rezeki. Alhamdulillah, kemenangan ini mungkin menjadi salah satu batu loncatan untuk lagu ini dikenali oleh lebih ramai lagi,” katanya.

Oleh Adele Rissa