MIRI: Durian Ukak atau Nyekak mula mendapat perhatian penggemar buah-buahan tempatan di Miri ketika bekalan durian tempatan lain semakin berkurangan susulan musim raja buah itu yang mula berakhir.
Penjual buah di Tamu Taman Tunku, di sini, Misiah Rahim berkata, walaupun bekalan durian kini tidak sebanyak sebelum ini, masih terdapat pelanggan yang datang khususnya untuk mendapatkan durian tempatan termasuk Ukak.
“Sekarang durian sudah mula kurang. Bekalan tidak sebanyak sebelum ini, tetapi masih ada pelanggan yang datang mencari durian tempatan, termasuk Ukak,” katanya ketika ditemui di Tamu Taman Tunku, di sini.
Menurutnya, Ukak mempunyai penggemarnya tersendiri kerana isi buahnya lembut, berwarna menarik serta mempunyai rasa manis dan lemak.
Durian Nyekak mempunyai isi berwarna kuning hingga jingga dan merupakan antara varieti durian tempatan Sarawak yang boleh ditemui terutama di kawasan tengah dan utara negeri ini.
Jabatan Pertanian Sarawak turut menyenaraikan durian Nyekak (Durio kutejensis) sebagai antara varieti durian tempatan Sarawak.
Buah itu mempunyai duri yang pendek dan tumpul, manakala warna isinya boleh berubah daripada kuning muda hingga jingga tua, menjadikannya antara durian tempatan yang mempunyai ciri tersendiri.
Keadaan itu turut memberi pilihan kepada penggemar durian yang masih mahu menikmati buah tempatan meskipun bekalan raja buah lain di pasaran semakin berkurangan.
Oleh Liong Chai Ling




