SONG: Penyaluran geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada masyarakat di kawasan Katibas dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan keperluan rakyat, termasuk komuniti rumah panjang dan sektor pendidikan, terus mendapat perhatian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan berkata, peruntukan kerajaan perlu disalurkan secara teratur bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat serta menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan masyarakat.
Beliau berkata, penyaluran dana berkenaan bukan disebabkan pilihan raya yang semakin hampir, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan melaksanakan program untuk rakyat dan anak-anak sekolah.
“Dana yang diberikan hari ini bukan kerana pilihan raya akan datang, tetapi untuk kita melaksanakan program bagi rakyat serta anak-anak sekolah.
“Dana ini memang wajar diberikan kepada rakyat kerana kita mahu menjaga kesejahteraan mereka,” katanya dalam kenyataan selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Erung, Nanga Sebuloh, hari ini.


MANFAATKAN SEBAIKNYA…Lidam menyerahkan geran MRP kepada penerima pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Erung, Nanga Sebuloh, hari ini.
Menurutnya, pendekatan sama turut digunakan dalam pelaksanaan projek pembangunan di rumah panjang dengan peruntukan disalurkan secara berperingkat bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.
“Setiap rumah panjang kita beri secara bergilir, satu demi satu. Jika belum mencukupi, kita susun untuk pusingan seterusnya kerana tidak semuanya dapat dilaksanakan serentak,” katanya.
Lidam turut mengingatkan masyarakat supaya terus memelihara hubungan erat antara pemimpin dan rakyat serta tidak membiarkan perbezaan menjejaskan perpaduan yang telah lama dibina.
Pada majlis itu, Lidam menyerahkan geran MRP kepada penerima dari kawasan Batang Rajang Ili di bawah Penghulu Musin Anyok, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Katibas serta kumpulan guru sekolah di kawasan Katibas.
Turut hadir Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.




