LAWAS: Lagi ahli parti pembangkang Sarawak keluar parti untuk memberi sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Kali ini, Naib Presiden Parti Bumi Kenyalang(PBK), Peter Asut keluar daripada parti itu dan menyatakan sokongan terbuka kepada calon GPS bagi kerusi Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong.
Beliau bersama 325 penyokong dalam kalangan pengundi berdaftar di Kampung Purusia Trusan, juga meminta masyarakat Lun Bawang untuk memberi sokongan padu kepada Henry Sum Agong.
Peter Asut menyertai ratusan penyokong menyambut ketibaan Henry Sum Agong yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan dalam lawatan ke kampung Purusia semalam.
Ini sekali gus memberi kelebihan kepada Henry Sum dalam pertembungan ‘dua gergasi Lun Bawang’ di Utara Sarawak, yang memperlihatkan cabaran Baru Bian dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Baru Lian ‘lari’ dari kerusi Parlimen Selanggau di Sibu yang disandangnya sebelum ini. Seorang lagi calon ialah Japar Suyut (PH-PKR).
Tindakan keluar parti PBK itu juga adalah tamparan buat Baru Bian yang cuba meraih sokongan padu kaum Lun Bawang.
Kelmarin, seramai 4,800 ahli PSB Cawangan Kabong mengumumkan keluar daripada parti pembangkang itu untuk menyokong GPS.
Menurut Peter hanya GPS dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dapat membela nasib rakyat dan mereka yakin Henry Sum berupaya untuk membawa masyarakat Lun Bawang maju bersama rakan kaum lain di Lawas.
“Kita dapat melihat rekod perkhidmatan Henry Sum dalamn Kerajaan Persekutusn yang berjaya membawa projek dan pembangunan kepada rakyat Lawas,” katanya.
Peter mengakui keputusan pilihan raya negeri tahun lalu telah menjadi bukti apabila pengundi di Sarawak sudah matang dalam berpolitik.
“Rakyat Sarawak memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan menyokong gabungan parti yang saling bersatupadu untuk membawa Sarawak lebih maju,”katanya.
Sekarang ini katanhya, Sarawak amat memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan parti yang bergerak seirama dalam GPS bagi melindungi, menuntut hak Sarawak.
“Kita tidak mahu rakyat kita di Sarawak berpecah-belah dalam kelompok kecil yang akhirnya tidak mampu untuk berjuang demi Sarawak,” katanya.
“Kita juga tidak mahu melihat Parlimen Lawas ini jatuh kepada parti serpihan SUPP (iaitu PSB) apa lagi parti dari Malaya seperti Pakatan Hatan (PH) yang telah mengkhianati Sarawak,” katanya.
Peter dengan nada penuh kecewa sambil memegang erat tangan Henry Sum memberitahu bahawa kejatuhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’Kelalan kepada pembangkang selama tiga penggal juga menyebabkan rakyat di situ ketinggalan dari segi projek dan peruntukan berjumlah jutaan ringgit setiap tahun.
Seterusnya beliau mendedahkan bahawa sepanjang 39 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam menyaksikan banyak usaha kerajaan BN pada waktu dulu dan sekarang GPS disalurkan untuk pembangunan.
“Kita akui bahawa politik bukan untuk tujuan atau kejayaan peribadi tetapi akhirnya ialah kesan politik itu kepada rakyat, kampung dan keluarga kita sendiri.
“Memang dulu kita terpengaruh dan sekarang dapat melihat dorongan rakyat yang menyokong GPS telah membuka mata yang mana politik bukan untuk diri tetapi untuk rakyat,” katanya.
Peter yang kini tidak menyertai mana-mana parti politik memberi jaminan akan terus berkempen untuk kemenangan GPS di kawasan Lun Bawang di Trusan.
Oleh ADENG EDRUS