SIMANGGANG: Pelaksanaan enam projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang terus dipantau bagi memastikan kesemuanya dilaksanakan mengikut jadual serta memenuhi keperluan penduduk setempat.
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, berkata tinjauan kemajuan projek berkenaan dilaksanakan selama dua hari oleh Pegawai Tadbir Khas beliau, Philip Foster Hollis, yang mewakilinya dalam lawatan tersebut.
Menurutnya, lawatan itu bertujuan memastikan projek yang telah dianugerahkan kepada kontraktor berjalan lancar, selain menepati jadual pelaksanaan dan hasil yang diharapkan oleh masyarakat.
“Pemantauan secara berterusan penting bagi memastikan setiap projek RTP yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada penduduk serta disiapkan mengikut spesifikasi dan tempoh ditetapkan,” katanya.
Pada hari pertama, tiga projek RTP yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman telah dilawati.


Antaranya ialah projek menaik taraf akses ke rumah persendirian di Kampung Pruan C yang telah siap lebih awal daripada jadual.
Turut dilawati ialah projek menaik taraf Pusat Kraftangan JKKK Taman Sri Jaya, Sri Aman yang kini dalam proses pembinaan, serta projek menaik taraf jalan akses di Kampung Temiang, Undop yang telah siap sepenuhnya.
Pada hari kedua, tinjauan diteruskan terhadap tiga projek di bawah agensi pelaksana Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Sri Aman.
Projek terbabit ialah menaik taraf sistem perparitan dan saliran di Kampung Sri Kejatau yang masih dalam pembinaan dan telah melepasi jadual siap, selain projek menaik taraf jalan perkuburan Rumah Edmond Antain, Kampung Sungai Reboh yang telah siap lebih awal daripada jadual.
Satu lagi projek ialah menaik taraf jalan perkuburan Rumah Jalie Tutong, Kampung Ijok yang telah siap mengikut jadual.
“Kesemua projek berkenaan merupakan antara usaha berterusan kerajaan dalam menyediakan kemudahan asas yang lebih baik, selamat dan selesa kepada penduduk luar bandar, khususnya di kawasan DUN Simanggang,” katanya Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang.
Oleh Adi Safarman





