Rumah Seduku Panjai berwajah baharu, bumbung lama diganti

Facebook
WhatsApp
RUMAH Panjang Seduku Panjai kini tampil dengan perubahan ketara apabila kerja baik pulih bumbung kediaman komuniti berkenaan giat dilaksanakan menerusi projek RTP. Foto ADUN Lingga

LINGGA: Rumah Panjang Seduku Panjai kini tampil dengan perubahan ketara apabila kerja baik pulih bumbung kediaman komuniti berkenaan giat dilaksanakan menerusi projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, projek berkenaan menjadi antara usaha memastikan keperluan asas masyarakat di kawasan berkenaan terus diberi perhatian.

“Kerja penggantian bumbung lama kepada struktur baharu yang lebih baik bukan sahaja mengubah wajah rumah panjang, malah meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan penduduk yang tinggal di bawah satu bumbung,” katanya.

Menurutnya, penambahbaikan kemudahan asas seperti itu membawa makna besar kepada komuniti rumah panjang kerana ia berkait rapat dengan kesejahteraan serta kehidupan seharian penduduk.

“Pembangunan di kawasan Lingga bukan hanya tertumpu kepada projek infrastruktur berskala besar, sebaliknya turut merangkumi penambahbaikan kemudahan sedia ada yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.

Pelaksanaan projek berkenaan juga selari dengan agenda pembangunan di kawasan DUN Lingga bagi memastikan masyarakat di peringkat akar umbi tidak ketinggalan menikmati kemudahan yang lebih baik.

Projek baik pulih bumbung Rumah Panjang Seduku Panjai dilaksanakan menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Seduku Panjai dilantik sebagai kontraktor pelaksana.

Kerja projek itu bermula pada 13 Julai 2026 dan dijadualkan siap pada 12 Januari 2027, sekali gus memberi tempoh yang mencukupi untuk kerja baik pulih dilaksanakan secara teratur.

“Apabila siap sepenuhnya kelak, Rumah Panjang Seduku Panjai dijangka bukan sahaja memiliki wajah baharu, tetapi turut menawarkan persekitaran kediaman yang lebih selamat, selesa dan kondusif buat seluruh komuniti,” tambah Dayang Noorazah.

Oleh Adi Safarman