SEBUYAU : Keperluan untuk menambah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di kawasan Sebuyau dirasakan amat perlu pada masa kini.
Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi berkata, setakat ini hanya terdapat satu sahaja mesin ATM di Pasar Sebuyau yang menjadi kegunaan penduduk di kawasan tersebut.
“Dengan peningkatan penggunaan perkhidmatan perbankan elektronik sekarang, adalah sangat penting untuk menambah mesin ATM di Sebuyau ini.
“Apatah lagi dalam tempoh sukar seperti ini yang menyebabkan semua penduduk di sini bergantung kepada mesin ATM untuk mengambil wang masing-masing,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi semalam.
Menurut Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, keadaan ini telah diambil maklum dan beliau berharap supaya pihak bank tempatan dapat melihat keperluan mengadakan mesin ATM di sini dalam masa terdekat.
Masalah kekurangan mesin ATM yang dihadapi penduduk Sebuyau telah tular di laman sosial Facebook beberapa hari lalu yang memaparkan penduduk terpaksa beratur panjang untuk mengambil wang.
Tambah Julaihi, keadaan penduduk di Sebuyau yang terpaksa beratur panjang untuk menggunakan mesin ATM amat jelas menunjukkan perkhidmatan tersebut perlu ditambah.
Keadaan ini, jelas menunjukkan bahawa perlunya penambahan mesin ATM di luar bandar termasuk Sebuyau yang sudah begitu ‘dekat’ dengan Kuching dan Samarahan, katanya.
Julaihi turut memberitahu bahawa beliau memang ada perancangan untuk memohon bank-bank tempatan supaya memasang mesin ATM di kawasan Sebuyau dalam masa terdekat.
Katanya, beliau juga telah berbincang dengan penduduk tempatan berkenaan dengan perkara ini dan akan di usahakan secepat mungkin.