Permintaan tenaga kerja farmasi tinggi, pelajar layak masih tidak mencukupi

Facebook
WhatsApp
PENGARAH Kanan, Pengambilan Wilayah Kumpulan, Universiti Cyberjaya (UoC), Kalimuthu Thumbasamy ditemu bual media selepas program berkenaan.

KUCHING: Permintaan terhadap tenaga kerja dalam bidang farmasi dan beberapa bidang kesihatan kritikal lain semakin tinggi, namun jumlah pelajar yang memenuhi syarat untuk mengikuti program berkenaan masih belum mencukupi.

Perkara itu dibangkitkan Pengarah Kanan, Pengambilan Wilayah Kumpulan, Universiti Cyberjaya (UoC), Kalimuthu Thumbasamy ketika ditemui pada Hari Terbuka Kolej Cyberjaya Kuching yang turut menyaksikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, merasmikan pelancaran Program Diploma Farmasi di kolej berkenaan, hari ini.

Kalimuthu berkata keadaan itu dilihat sebagai antara cabaran utama dalam memenuhi keperluan tenaga kerja bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menurutnya, pihak industri termasuk syarikat swasta kini menunjukkan permintaan terhadap graduan dalam bidang seperti farmasi, fisioterapi dan kejururawatan, namun jumlah pelajar yang mengikuti program berkenaan masih rendah.

“Permintaan memang agak tinggi, tetapi kita menghadapi masalah untuk mendapatkan pelajar yang layak. Peluang dan program itu ada, tetapi pelajar yang mencukupi serta memenuhi syarat masih kurang,” katanya.

Beliau berkata antara syarat kemasukan program farmasi ialah calon perlu mempunyai kelayakan dalam Matematik dan subjek Sains serta tiga subjek lain, menyebabkan sebahagian pelajar tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

TIMBALAN Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, merasmikan pelancaran Program Diploma Farmasi pada Hari Terbuka Kolej Cyberjaya Kuching, hari ini.

Katanya, Kolej Cyberjaya baru melancarkan Program Diploma Farmasi dan menerima kira-kira 40 hingga 50 pelajar bagi pengambilan pertama yang bermula September ini.

“Kita baru melancarkan program ini dan sambutan daripada masyarakat juga sangat baik. Kita mengambil kira-kira 100 hingga 150 pelajar setiap tahun melalui dua pengambilan.

“Kita tidak mahu mengambil terlalu ramai kerana kita mahu memastikan pelajar mendapat peluang pekerjaan selepas tamat pengajian,” katanya.

Kalimuthu berkata Hari Terbuka itu memberi peluang kepada pelajar dan ibu bapa mendapatkan maklumat mengenai bidang farmasi, selain bertemu agensi serta syarikat yang berpotensi menawarkan peluang pekerjaan.

Beliau berkata pihaknya turut melihat bidang kejururawatan, fisioterapi dan psikologi sebagai antara bidang yang mempunyai keperluan tenaga kerja tinggi dalam tempoh akan datang.

“Kita mahu pelajar memahami bahawa program-program ini adalah bidang kritikal dan mempunyai permintaan pekerjaan, bukan hanya memilih kursus yang dianggap lebih mudah,” katanya.

TIMBALAN Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, melawat reruai yang dikendalikan pelajar kolej serta agensi kerajaan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada Hari Terbuka Kolej Cyberjaya Kuching, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Kalimuthu berkata cadangan kerjasama dengan kerajaan Sarawak bagi membantu pelajar dari segi pembiayaan masih dalam perbincangan, termasuk usaha mendapatkan sokongan melalui Yayasan Sarawak.

Katanya, perkara itu turut dibincangkan susulan lawatan Dr Sim ke program berkenaan, dengan cadangan bantuan kepada kira-kira 30 peratus pelajar yang menghadapi kekangan kewangan.

“Masih dalam perbincangan. Kita sudah beberapa kali berbincang dengan Yayasan mengenai bagaimana kita boleh membantu dan menyalurkan pelajar kita selepas tamat pengajian,” katanya.

Beliau berkata ketika ini kebanyakan graduan dalam bidang kesihatan yang ditawarkan institusi berkenaan mendapat peluang pekerjaan daripada syarikat swasta, termasuk syarikat yang datang mendapatkan tenaga kerja daripada kolej.

Kalimuthu berkata kumpulan institusi berkenaan kini mempunyai kira-kira 12,000 pelajar, termasuk sekitar 2,000 di Sarawak, manakala Universiti Cyberjaya mempunyai lebih 8,000 pelajar dengan lebih 300 daripadanya dalam bidang perubatan.

Oleh Afiq Sallehi

Uggah ajak rakyat Betong meriahkan SKS 2026

BETONG: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, mengajak masyarakat di Bahagian Betong dan kawasan sekitar hadir beramai-ramai memeriahkan