Premier Sarawak saksikan sendiri pendaratan pesawat di STOLport Bebuling

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan sendiri pendaratan pesawat di STOLport Bebuling, hari ini. Foto: JKR Sarawak

SPAOH: Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling mencatat detik bersejarah apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyaksikan sendiri pendaratan pesawat di kemudahan berkenaan hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Kerja Raya (JKR), pendaratan tersebut menjadi perkembangan penting dalam usaha memastikan STOLport Bebuling bersedia menyokong keperluan pengangkutan udara serta meningkatkan kesalinghubungan Bahagian Betong dengan kawasan lain.

Kemudahan Short Take-Off and Landing (STOL) itu dilengkapi landasan sepanjang 1,190 meter selain taxiway, apron, terminal, menara kawalan, helipad serta kemudahan Aircraft Fire and Rescue Services (AFRS).

Apabila beroperasi sepenuhnya, STOLport Bebuling berpotensi menyokong pergerakan penumpang dan penghantaran barangan tempatan ke luar Betong, sekali gus memperkukuh jaringan pengangkutan serta membuka akses lebih luas kepada masyarakat setempat.

Dari aspek ekonomi, kemudahan itu turut berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor agro menerusi akses pengangkutan yang lebih pantas dan cekap, selain memperkukuh rantaian bekalan makanan di kawasan berkenaan.

Kewujudan Agro Park serta Pusat Pengumpulan, Pembungkusan dan Pemprosesan (CPPC) dijangka dapat meningkatkan kecekapan pengeluaran, pengumpulan dan pemasaran hasil pertanian tempatan.

Dengan akses udara yang lebih baik, hasil pertanian dari kawasan luar bandar berpotensi dihantar dengan lebih pantas ke pasaran yang lebih luas, sekali gus memberi nilai tambah kepada petani dan pengusaha tempatan.

Dalam masa sama, jaringan udara yang lebih baik turut berpotensi menyokong perkembangan sektor pelancongan di Bahagian Betong, khususnya ekopelancongan serta produk budaya dan warisan tempatan.

Destinasi seperti Bukit Sadok, Batang Ai dan kawasan sekitarnya berpotensi menerima manfaat daripada peningkatan aksesibiliti, sekali gus membuka ruang untuk produk pelancongan tempatan dipromosikan kepada pelawat domestik dan antarabangsa.

Peningkatan akses pengangkutan melalui STOLport Bebuling juga berpotensi menarik pelaburan baharu, merancakkan aktiviti perniagaan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan, khususnya kepada generasi muda di kawasan luar bandar.

STOLport Bebuling diharap dapat menjadi antara pemangkin pembangunan Bahagian Betong dengan menghubungkan masyarakat, ekonomi dan pasaran menerusi jaringan pengangkutan udara yang lebih baik.

Oleh Adi Safarman

Uggah ajak rakyat Betong meriahkan SKS 2026

BETONG: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, mengajak masyarakat di Bahagian Betong dan kawasan sekitar hadir beramai-ramai memeriahkan