MIRI: Kegiatan mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan aktiviti melombong mata wang digital atau kripto di sebuah pondok di tanah persendirian di Jalan Bakam di sini terbongkar selepas diserbu polis dengan kerjasama pasukan teknikal Sarawak Energy Berhad (SEB), baru-baru ini.
SEB berkata, dalam serbuan tersebut sebanyak 28 mesin perlombongan mata wang kripto bernilai RM162,000 dirampas.
“Seperti penemuan di Jalan Padang Kerbau pada 25 Jun lalu, pasukan juga menemui pelayan perlombongan kripto, internet sambungan modem pendawaian dan bukan standard yang disambungkan terus ke papan meter yang berdekatan tanpa mempunyai meter.
“Ini menimbulkan bahaya kepada orang ramai dengan struktur tidak selamat dan pendawaian tidak selamat.
“SEB tidak membenarkan sambungan elektrik dengan pendawaian yang tidak selamat atau struktur yang tidak stabil kerana potensi bahaya yang ditimbulkan kepada orang ramai,” kata SEB dalam satu kenyataan.
SEB berkata, semua barang itu dileraikan dan disita sebagai bukti.
“Laporan polis dibuat berhubung kejadian itu dan pemilik tanah itu dicari untuk membantu siasatan,” katanya.
Menurut SEB, pihaknya akan terus mengesan kegiatan perlombongan mata wang digital yang disyaki mencuri elektrik.
“Berdasarkan kes sebelumnya, aktiviti pencurian kuasa berkait rapat dengan aktiviti perlombongan kripto dan modus operandi semasa menggunakan rumah atau pondok yang ditinggalkan untuk mengelakkan pengesanan.
“Mereka yang terlibat dengan aktiviti ini akan memanfaatkan bekalan elektrik terus dari talian papan meter dan menggunakan bekalan secara percuma.
“Pendawaian yang dirosakkan boleh menyebabkan letusan elektrik kepada orang ramai yang mungkin tidak mengetahui kewujudan kabel elektrik di sekitarnya,” jelasnya.
Jelas SEB, operasi perlombongan mata wang kripto memerlukan sejumlah besar tenaga yang perlu dijalankan 24 jam sambungan ke talian papan meter akan menyebabkan beban berlebihan ke sistem rangkaian elektrik dan akhirnya menyebabkan pemadaman yang tidak perlu atau voltan rendah yang boleh merosakkan perkakas kepada pelanggan berdekatan.
“Penggunaan elektrik yang tidak didaftarkan dianggap sebagai mencuri elektrik dan merupakan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 33 (5) Ordinan Elektrik, yang membawa hukuman hingga RM100,000 dan atau penjara lima tahun jika didapati bersalah.
Oleh LIONG CHAI LING